Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

K'jaan hari ini tak seperti digambarkan Anwar - Ilham

Kerajaan Perpaduan hari ini di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak seperti yang dijanjikan selepas mencanang untuk melakukan reformasi.

Menurut Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomudin Bakar alasan kerajaan perpaduan bahawa janji reformasi tidak dapat dilaksanakan kerana disertai pelbagai parti dan idelogi berlainan tidak boleh diterima.

"Bila perjuangan reformasi sampai tahap matang, kemudian (Anwar) jadi perdana menteri segmen reformasi mati.

"Tidak macam saya pada zaman muda dulu bayangkan. Ekspektasi dikongsi seluruh rakyat dambakan pembaharuan tidak berlaku.

"Layanan kepada media dengan portal yang memberi liputan tak enak telinga kerajaan diberi tekanan," katanya pada program Minggu Negarawan: Setahun kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di Yayasan Perdana, Putrajaya, hari ini.

"Apa yang berlaku kerajaan sekarang bukan kerajaan yang diberikan gambaran oleh Anwar," katanya lagi pada program yang turut disertai bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai panelis.

Hishomudin berkata kerajaan hari ini seolah-olah tidak ada jalan keluar untuk membawa negara ke arah lebih baik.

"Bila ditanya mereka kata ini bukan kerajaan PH ini kerajaan perpaduan. Selepas kerajaan perpaduan ditubuhkan, satu sekretariat dibentuk diketuai oleh Asyraf Wajdi Dusuki.

"Peranan sekretariat ini mengumpul menyelaras semua piagam manifesto ditawar parti kerajaan perpaduan diselaraskan. Sampai sekarang tidak ada diwar-warkan," katanya.

Menurutnya, kerajaan juga belum melaksanakan pemisahan kuasa peguam negara dan pendakwa raya.

"Tiada harapan bergantung kepada kerajaan (bukan seperti) apa yang Anwar laungkan dulu. Seakan-akan mereka yang mendukung (reformasi) tak nampak jalan keluar.

"Individu didamba (membawa perubahan) kini di posisi nombor satu. Tapi, kami tak nampak jalan keluar dan siapa yang boleh membawa jalan keluar Malaysia ke arah lebih baik," katanya.