Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PM dedah kisah tolak biasiswa Petronas untuk Izzah

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan kisah dia menolak biasiswa Petronas yang ditawarkan kepada anak sulungnya Nurul Izzah.

Jelasnya, penolakan itu kerana dia merupakan seorang menteri kabinet dalam kerajaan pada ketika itu.

“Bila anak saya Nurul Izzah dihantar ke Universiti (Teknologi) Petronas, dan keputusannya cemerlang dia diberikan biasiswa.

“Saya ketika itu timbalan perdana menteri dan menteri kewangan, jadi saya kata sebab apa beri biasiswa?

"Saya kata saya tak mungkin ambil biasiswa itu kerana ramai lagi anak-anak miskin termasuk anak Melayu, walaupun tidak sangat cemerlang tapi masuk ke universiti tanpa biasiswa.

“Jadi semua kena faham bahawa ada menteri pada masa itu, Anwar menolak biasiswa anaknya kerana dia seorang menteri,” katanya ketika berucap di program ramah mesra bersama warga Petronas Pantai Timur di Kerteh, Kemaman, hari ini.

Kata Anwar lagi, apabila dia dipenjarakan semua keistimewaannya dirampas dan Nurul Izzah memilih meninggalkan pengajian di universiti itu untuk memperjuangkan kebebasannya.

“Ini pertama kali dalam sejarah saya ceritakan,” katanya disusuli tepukan gemuruh hadirin.