Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Muhyiddin, jangan jadikan isteri alasan buat pusingan U - Lim

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mempermainkan "pelbagai helah" bagi membenarkan pusingan U yang dilakukannya termasuk menggunakan nama isterinya, kata Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

Ini selepas Muhyiddin menarik balik keputusannya untuk tidak bertanding jawatan presiden Bersatu, tahun depan.

"Sebagai pemimpin, kita buat keputusan dan ambil tanggungjawab terhadap keputusan.

"Kalau nak buat pusingan U sekali pun, berilah sebab yang benar-benar munasabah.

"Tapi jangan salahkan isteri pula. Pemimpin perlu tegas, apabila pemimpin memberi kenyataan berpusing-pusing seperti ini bukanlah kualiti seorang pemimpin yang berwibawa," kata Lim pada siri ciapan di media sosial X.

Ahli parlimen Bagan itu juga memetik nama bapanya Lim Kit Siang, berkata veteran DAP itu berpegang pada pendirian seteleh membuat pengumuman mahu bersara.

"Muhyiddin mungkin boleh mempermainkan ahli-ahli Bersatu, tetapi jangan memperolok-olokkan rakyat Malaysia.

"Kita perlu pemimpin yang berpegang pada kata-kata. Kualiti pemimpin seperti ini sangat diperlukan untuk membawa kemajuan dan kemakmuran negara," kata Lim lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Adun Bersatu untuk Taman Medan Dr Afif Bahardin (gambar, atas) menempelak Lim atas kritikannya terhadap Muhyiddin.

"Ramai mengharapkan kamu bersara. Cuba YB sebut dalam Konvensyen parti YB, pasti ramai gembira kalau YB umum bersara...

"Kami di Bersatu unanimously mahukan TSMY untuk terus memimpin," katanya pada ciapan balas di platform X hari ini.

Muhyiddin pada 24 Nov lalu mengejutkan perwakilan dan pemerhati perhimpunan agung tahunan Bersatu apabila mengumumkan tidak mahu mempertahankan jawatan presiden dalam pemilihan parti akan datang.

Bagaimanapun sehari kemudian dia mengubah keputusan tersebut.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata dia membuat keputusan tersebut berikutan permintaan isterinya, Noorainee Abdul Rahman, agar dia memegang jawatan presiden itu sekurang-kurangnya satu penggal lagi.

"Apa isteri saya kata: stay another term (kekal satu penggal lagi).

"Saya kata, yang okey yang, I will stay for the last term (Saya akan kekal buat penggal terakhir).

"Kemudian dia jawab, alhamdulillah. Isteri saya kata thank you, this is for the nation, abah must go on (Terima kasih, ini untuk negara, abah kena teruskan)," kata Muhyiddin.

Menjelaskan lanjut, dia menegaskan isu berkenaan hasratnya untuk tidak mempertahankan jawatan presiden Bersatu serta kegamatan yang tercetus susulannya, bukan drama atau gimik semata-mata.

"Gimik? You tanya kawan-kawan lain ini gimik ke?

“Saya bukan main-main, you kalau duduk di atas (pentas) tu, you dengar tu...

“Ini bukan main gimik, bukan budak-budak punya main,” kata Muhyiddin menjawab soalan media selepas menarik balik keputusannya itu.