Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Mungkin jawatan dicabar, Mat Sabu: Kita rileks sajalah...

WAWANCARA | Presiden Amanah Mohamad Sabu menyerahkan kepada perwakilan dan 27 anggota jawatankuasa tertinggi organisasi untuk menentukan sama ada dia kekal mengetuai parti itu atau sebaliknya.

Katanya mengikut perlembagaan parti, seseorang ahli dibenarkan menjadi presiden hanya selama tiga penggal berturut-turut.

Dalam keadaan sekarang, katanya, dia masih dibenarkan oleh perlembagaan Amanah untuk terus mengetuai parti itu kerana baru dua penggal menjadi presiden.

"Apa pun, terserah kepada musyawarah dalam kalangan 27 ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional untuk menentukan siapa patut dilantik sebagai presiden," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Berbeza daripada kebanyakan parti, Amanah tidak mengamalkan pemilihan jawatan utama dari peringkat tertinggi hingga ke akar umbi melalui undian langsung.

Sebaliknya perwakilan hanya memilih sejumlah calon - bagi peringkat nasional, 27 orang - dan kemudian berbincang untuk mengenal pasti siapakah antara mereka sesuai dilantik menjadi ketua serta jawatan lain.

Amanah dijadual mengadakan konvensyen nasional pada 23 dan 24 Dis ini di Klang, Selangor.

Amanah parti terbuka

Mohamad merupakan presiden Amanah sejak parti itu ditubuhkan secara rasmi pada 2015 ekoran krisis dalaman PAS yang menyaksikan dia serta sejumlah tokoh sederhana diketepikan secara en bloc dari parti berkenaan.

Ketika ini dipercayai wujud sesetengah pihak sedang cuba menggerakkan usaha menaikkan tokoh lain sebagai presiden. Antara lain mereka mendakwa parti itu kini kurang 'faktor X' untuk menarik keanggotaan baru.

Pemilihan kali ini juga menarik perhatian ramai kerana jawatan nombor dua parti masih kosong ekoran kematian penyandangnya, Salahuddin Ayub, pada 23 Julai lalu.

Kata Mohamad dia tidak berhalangan jika ada sesiapa yang mahu ke depan untuk menawarkan diri sebagai presiden baru Amanah sesuai dengan amalan demokrasi parti itu.

"Sesiapa sahaja yang berminat (menawarkan diri sebagai presiden), silakan.

“Ini parti yang terbuka, sebab kita dalam Amanah bukan (ahli) memilih presiden (secara langsung).

"Perwakilan memilih 27 orang ahli jawatankuasa nasional. Yang dipilih itu, 27 itulah, yang akan buat mesyuarat memilih presiden, timbalan dan lain lain," katanya.

Adakah Mohamad keberatan jika ada pencabar? Dia menjawab dengan bersahaja bahawa itu bukan sesuatu yang memerlukan dia bertindak luar biasa atau gelabah.

"Kalau kita kata keberatan pun, orang nak mencabar, dia akan mencabar juga. Jadi biarlah kita rileks saja dan serah kepada perwakilan," katanya.

Ahli Parlimen Kota Raja itu juga tidak menjangkakan Amanah akan berpecah atau berpuak-puak kerana gerakan kempen dalaman menjelang pemilihan nanti.

Ditanya mengenai kemungkinan dia sendiri giat berkempen untuk kekal sebagai presiden, Mohamad berkata, terpulang untuk mana-mana pihak mentafsir perbuatannya.

Bukan ukuran kekuatan parti

Kata bekas menteri pertahanan itu, dia memang sering bertemu dengan ramai orang dalam keadaan yang bersahaja.

"Kalau orang nampak saya borak-borak dan minum kopi itu sebagai berkempen, terpulanglah, sebab dalam parti yang kecil ini saya berbaik-baik dengan semua orang," katanya lagi.

Mohamad juga kelihatan tidak keberatan apabila ada ahli dikatakan mengeluh kerana Amanah semakin kurang menarik berbanding sekitar 2018 apabila menjadi kerajaan buat pertama kali bersama PH.

Katanya dia bersikap terbuka dengan kritikan dan teguran ahli parti.

"Memang ahli parti pun, mereka ada perasaan tak puas hati. Bagi saya, perasaan tak puas hati itu bagus," katanya sambil tersenyum.

Pada masa sama Mohamad - yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu - mengakui tidak mudah untuk memastikan Amanah kekal mendapat tempat dan sambutan dalam kalangan masyarakat.

Sejarah juga menunjukkan banyak parti lain yang dianggotai nama besar tetap tidak mampu bertahan lama, seperti Parti Negara pimpinan Onn Jaafar dan Semangat 46 (Tengku Razaleigh Hamzah).

Mengakui penambahan ahli penting untuk kelangsungan parti, ia bukanlah penentu mutlak jatuh bangun Amanah.

"Macam Umno yang mempunyai keanggotaan 3 juta ahli, tapi ada ketikanya masih tak dapat undi daripada mereka.

"Maknanya jumlah ahli penting, tapi ia bukan ukuran kekuatan sesebuah parti," katanya.