Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

MP Sokong PM: Saifuddin kecewa tapi tetap berempati

Semua ahli parlimen pembangkang sepatutnya istiqamah dan belajar daripada pengalaman rakan lain yang lebih berpengalaman berada dalam blok bertentangan dengan kerajaan.

Menyifatkan tindakan ahli parlimen pembangkang mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sebagai mengecewakan, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Saifuddin Abdullah, berkata dia masih mempunyai sifat empati terhadap mereka.

"Kita tidak tahu apa masalah sebenar mereka... memanglah mengecewakan (apabila memberi sokongan kepada kerajaan), tapi saya masih mampu berempati terhadap kawan-kawan kita itu.

"Saya fikir sebagai ahli parlimen pembangkang, kita kena beristiqamah dan belajar daripada ahli parlimen pembangkang sebelum ini," katanya.

Dia yang juga ahli parlimen Indera Mahkota menjelaskan ahli parlimen kerajaan sekarang - khususnya dari PKR, DAP dan Amanah - juga pernah menjadi pembangkang.

Umno pun, tambahnya, pernah mengalami nasib sebagai pembangkang selepas PRU ke-14 dulu.

"Tapi tidak berlaku seperti apa yang kita lihat sekarang," katanya yang ditemui pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Indera Mahkota dekat Kuantan, hari ini.

Tak sangka kuasa speaker besar

Pengerusi PN Pahang itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan terbaru Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, yang menyatakan sokongan kepada kerajaan semasa di Dewan Rakyat hari ini.

Syed Abu Husin merupakan ahli parlimen PN terbaru yang berbuat begitu. Sebelum ini empat ahli parlimen PN terlebih dulu menyatakan sokongan iaitu Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (pada 12 Okt lalu), diikuti Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Zahari Kechik (Jeli).

Ketika ditanya sama ada terdapat lagi ahli parlimen PN lain akan menyokong Anwar, Saifuddin berharap Syed Abu Husin adalah yang terakhir.

Dia turut memberitahu isu berkaitan peruntukan sepatutnya tidak timbul kerana Anwar sendiri berjanji ketika berkempen semasa PRU ke-15 lalu untuk memastikan semua ahli parlimen - termasuk pembangkang - menerimanya.

"Saya fikir perbincangan di antara pembangkang dan kerajaan berkaitan peruntukan ini tidak timbul, (tapi) kena tanya ketua pembangkang dan ketua whip.

"Mengenai peruntukan pula, kita ada dua bahagian iaitu membabitkan pengurusan yang biasanya diberikan kepada ahli parlimen sebanyak RM300,000 setahun untuk kos operasi pusat khidmat.

"Satu lagi (bahagian) untuk pembangunan, kebajikan, bencana dan jumlahnya berbeza antara kawasan (parlimen).

"Ada yang dapat RM1 juta dan ada yang dapat hingga RM2 juta setahun - bergantung kepada jumlah per kapita kawasan diwakili," katanya lagi.

Sementara itu, ditanya jika akta antilompat parti diluluskan dalam keadaan tergesa-gesa hingga membuka ruang kepada situasi ketika ini pula, Saifuddin berkata, ia mempunyai peluang untuk dipinda dan ditambah baik.

"Sebelum dibentangkan dan diluluskan, kita memang mengadakan sesi libat urus dan saya juga terbabit dalam sesi berkenaan.

"Cuma, ketika itu kita (PN) tak sangka apabila berlaku ahli parlimen daripada parti tertentu mengemukakan sokongan kepada kerajaan, Speaker Dewan Rakyat lebih berkuasa untuk memutuskan sama ada ia dikira sebagai 'lompat' atau tidak.

"Ketika diluluskan, kita tidak sangka kuasa Speaker Dewan Rakyat menjadi begitu besar.

"Jadi, kita tengok dah ada usul untuk menyemak dan menambah baik akta itu dan kita tunggulah, biar ia matang dulu," katanya.

Yang di-Pertua Dewan Negara, Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 17 Nov lalu dilaporkan berkata, sebarang cadangan pindaan akta antilompat parti hanya boleh dibuat jika didapati mempunyai kelompangan.

Wan Junaidi berkata, akta itu diluluskan sebelum ini kerana dianggap paling sesuai mengikut kepentingan negara setelah dibuat kajian teliti serta proses perbincangan dan libat urus yang intensif dan komprehensif dibuat.