Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Adun gesa k'jaan Terengganu perketat pantau acara hiburan

Kerajaan Terengganu digesa untuk memperketat pemantauan terhadap penganjuran acara hiburan yang melalaikan bagi mengekang penularan budaya hedonisme yang dilihat semakin memburuk di negeri itu.

Dr Riduan Mohamad Nor (PAS-Jertih) berkata Terengganu yang mempunyai rekod cemerlang dalam pembangunan sahsiah dan akademik pelajarnya dilihat semakin dihimpit isu peningkatan gejala sosial terutamanya dalam kalangan anak muda.

"Sebab itu kerajaan kena kemaskan pemantauan dan penguatkuasaan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu yang ada ketika ini sebab kita risau takut ada terlepas masuk program hiburan seperti konsert yang melampaui batas misalnya.

"Kalau ada program sebegini, kita bimbang ia akan bawa kepada masalah hiliran yang lain seperti kegiatan seks bebas dan penagihan dadah terutamanya dalam kalangan anak muda … mereka ini perlu dibentuk dengan lingkungan sosial yang baik menerusi pengawasan daripada kerajaan, bukan ibu bapa semata-mata," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Belanjawan Terengganu 2024 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuala Terengganu hari ini.

Riduan turut mendedahkan kedudukan Terengganu dalam beberapa isu sosial antaranya sebagai yang tertinggi dalam masalah penggunaan dadah, kedua tertinggi dalam penggunaan vape dan ketiga paling ramai perokok di dalam negara.

"Perkara ini membuktikan seolah-olah rakyat Terengganu merasakan semua permasalahan ini tiada apa-apa … termasuklah golongan imam masjid sekalipun.

“Berbeza dengan kelompok kelas pertengahan di Lembah Klang.

"Justeru, kerajaan negeri perlu menjalankan kempen yang lebih tegas untuk mendidik masyarakat dan ia perlu dipastikan dijalankan dengan baik terutamanya di peringkat akar umbi kita. Jangan sesekali jadikan isu bajet sebagai alasan," katanya.

- Bernama