Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

NGO beri amaran sijil mampan kayu Sarawak ada ‘kecacatan’

Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar memberi amaran kepada pembeli antarabangsa agar tidak membeli produk kayu dari Sarawak kerana mendakwa sistem pensijilan kayu mampan yang diguna ketika ini mempunyai "kecacatan yang ketara".

Lebih khusus lagi, laporan yang diterbitkan bersama pada 15 November oleh The Borneo Project and Bruno Manser Funds (BMF) menyebut produk kayu itu adalah dari Kumpulan Samling.

Ini termasuk konflik antara Samling dan komuniti orang asli Sarawak serta amalan degradasi alam sekitar sepanjang beberapa tahun.

Di sebalik, konflik yang didakwa berterusan dan amalan perhutanan tidak mampan, NGO itu mendedahkan bahawa operasi pembalakan di Sarawak masih diiktiraf sebagai 'mampan'  oleh Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) yang disokong kerajaan.

"Ini membolehkan produk kayu Samling dijual di pasaran antarabangsa di bawah label kayu hijau Programme for the Endorsement of Forest Certification (PEFC).

"Laporan tersebut menggariskan secara terperinci bagaimana pelanggaran berterusan oleh Samling terhadap standard pensijilan gagal memberikan peningkatan yang memadai, dengan akibat yang sangat sedikit," kata kenyataan yang dikeluarkan NGO tersebut, minggu lalu.

Pengarah Eksekutif The Borneo Project, Jettie Word mengakui bahawa kerajaan Sarawak telah meletakkan usaha yang betul dan bersungguh-sungguh bagi melindungi hutan negeri tersebut.

"Tetapi dengan cara MTCS beroperasi sekarang, ia tidak dapat menjamin sebarang standard yang mereka dakwa pertahankan. Sistem ini perlu diubah," tambahnya.

Justeru, mereka menggesa pembeli antarabangsa supaya mengelak daripada membeli produk MTCS yang dianggap "berisiko tinggi" dan produk kayu dari Sarawak.

MTCS adalah badan pensijilan bebas dan sukarela di bawah Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC). Di peringkat antarabangsa, MTCS diiktiraf PEFC.

PEFC adalah badan antarabangsa bagi sistem pensijilan hutan negara.

Malaysiakini telah menghubungi MTCC dan badan penilaian Sirim QAS International untuk mendapatkan maklum balas.

Sementara itu, Samling mengatakan dakwaan yang dibuat adalah bahan "kitar semula" yang telah dijawab berkali-kali.

Dakwaan gagal dapatkan persetujuan

Dalam laporannya, The Borneo Project dan BMF mendokumentasikan konflik hak tanah orang asli yang melibatkan 12 komuniti di bawah empat Unit Pengurusan Hutan (FMU) Samling, iaitu Gerenai, Layun, Ravenscourt, dan Suling Selaan FMU.

Salah satu isu yang dibangkitkan dalam laporan tersebut menyatakan bahawa Samling gagal memperoleh Persetujuan atas Dasar Informasi Awal tanpa Paksaan atau Free Prior Informed Consent (FPIC) dari komuniti orang asli mengenai aktiviti pembalakan.

Komuniti-komuniti orang asli ini termasuk Long Siut (tanah Jamok), Long Tungan (tanah Jamok), penduduk yang tinggal di tanah Ba Jawi (FMU Gerenai), dan Long Pakan (FMU Layun).

Ini termasuk kes yang melibatkan komuniti orang asli Kenyah di Long Moh yang terletak dalam FMU Gerenai dan Suling Selaan, di mana Samling dituduh ingkar perjanjian lisan untuk tidak menebang di kawasan seperti Bekia, Ampai, dan Seru'en.

Selanjutnya, laporan tersebut menyatakan bahawa kawasan seperti Bekia dan Batu Siman adalah kawasan yang sensitif dari segi ekologi dan budaya, yang didakwa oleh laporan itu sebagai kawasan yang dicerobohi Samling.

Menjawab pertanyaan Malaysiakini, Samling berkata, isu mendapatkan FPIC yang mencukupi sebelum ini merupakan isu utama pertikaian yang dibangkitkan oleh Save Rivers - sebuah pertubuhan masyarakat sivil Sarawak - terhadap syarikat tersebut.

Bagaimanapun, Samling menyatakan Save Rivers dan pengarahnya telah menandatangani satu kenyataan bersama dengan Samling, mengakui bahawa FPIC telah dilaksana dengan memuaskan mengikut kriteria skim MTCS.

"Kami menganggap isu ini telah dijelaskan dan merupakan perkara yang tidak perlu diteruskan. Kami tidak akan membuat sebarang komen lanjut mengenai isu ini kerana penyelesaian telah dibuat," kata Samling.

Begitu juga dalam isu pembalakan di kawasan Bekia, Samling menjawab bahawa mereka "tidak akan membuat sebarang komen lanjut mengenai isu ini" kerana penyelesaian yang dibuat dengan Save Rivers.

Samling menambah bahawa tiada aktiviti pembalakan yang dilakukan tanpa kebenaran di kawasan Bekia, dan semua aktiviti dilakukan dengan perundingan dan persetujuan komuniti setempat di kawasan Bekia.

Samling sangkal dakwaan aktiviti pembalakan di Batu Siman

"Dalam pengetahuan kami, tiada kawasan yang dikenali sebagai 'Batu Siman'. Terdapat kawasan yang dipanggil Bukit Simang, di mana ia mungkin kawasan yang dimaksudkan.

"Kami mengesahkan bahawa kami tidak pernah beroperasi atau menjalankan sebarang operasi di Bukit Simang atau kawasan sekitarnya."

"Menurut pengetahuan kami, kawasan Bukit Simang bukanlah kawasan yang sensitif dari segi budaya dan ekologi," kata syarikat tersebut.

Dakwaan penukaran tanah untuk ladang kelapa sawit

Sementara itu, laporan The Borneo Project dan BMF mendakwa bahawa Samling "secara terang-terangan melanggar standard MTCS" dengan menukar 47,859 hektar atau 25 peratus dari FMU Gerenai menjadi ladang kelapa sawit.

Had yang dibenarkan oleh standard MTCS adalah lima peratus.

Selain itu, ia mendakwa bahawa untuk menyelesaikan isu ketidakpatuhan, kawasan itu dikecualikan daripada skop pensijilan, walaupun ia berada sepenuhnya dalam FMU.

Laporan tersebut merujuk kepada "hubungan industri tanpa nama" dan mendakwa bahawa kawasan yang dikecualikan akan ditukarkan menjadi ladang kelapa sawit dan dibahagikan kepada 13 Lesen Sementara untuk ladang kelapa sawit.

"(Lesen-lesen) telah diberikan kepada syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan politik yang kuat, termasuk empat syarikat yang merupakan operator penjarahan tanah bagi Samling Plywood (Miri)."

Sebagai maklum balas, Samling menafikan melanggar had penukaran lima peratus.

Syarikat gergasi perkayuan tersebut mendakwa laporan itu keliru mengenai "kawasan yang telah dikeluarkan atau sedang dalam proses dikeluarkan oleh pihak berkuasa sebagai lesen sementara kepada pihak ketiga yang bebas".

"(Kawasan-kawasan itu) tidak ada kaitan dengan Samling sama sekali dan kami tidak terlibat dalam pengeluaran permohonan lesen sementara.

"Kawasan-kawasan ini telah dikeluarkan dari kawasan Lesen Perkayuan Hutan Gerenai (bukan dari kawasan FMU)," kata syarikat itu.

Dakwaan pembalakan di kawasan dirancang sebagai taman hidupan liar

Salah satu dakwaan yang ditekankan laporan itu ialah Samling didakwa menebang di kawasan yang dirancang untuk dijadikan taman hidupan liar di kawasan Sungai Moh.

"Kerajaan Sarawak pada awalnya mencadangkan Taman Hidupan Liar Sungai Moh untuk kawasan di bahagian timur laut yang kini merupakan FMU Gerenai, mengikut peta dari Jabatan Perhutanan Sarawak pada tahun 2010.

"Samling pertama kali memulakan pembinaan jalan balak ke kawasan yang dicadangkan untuk Taman Hidupan Liar Sungai Moh pada bulan September 2010.

"Pada bulan Februari 2014, Samling telah menebang seluruh kawasan yang dicadangkan untuk Taman Hidupan Liar Sungai Moh," kata laporan Projek Borneo dan BMF.

NGO tersebut mendapati bahawa taman hidupan liar itu kemudian dipindahkan ke barat daya dari kawasan asal, mengikut peta Rancangan Pengurusan Hutan Samling untuk FMU Gerenai dari tahun 2019.

"Samling juga membina jalan yang menceroboh ke kawasan lokasi taman yang baru," kata laporan itu, dengan merujuk kepada imej satelit.

Samling menafikan menjalankan sebarang operasi pembalakan di dalam mana-mana taman hidupan liar.

"Semua operasi kami dilakukan dalam kawasan yang mendapat kebenaran undang-undang dan lesen yang lengkap dengan persetujuan penuh penduduk orang asli yang tinggal di kawasan tersebut.

"Kami dapat mengesahkan bahawa Taman Hidupan Liar Sungai Moh yang dicadangkan pada hari ini masih kekal suci dan tidak disentuh," kata syarikat tersebut.

Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS)

Terdapat dua peringkat pensijilan MTCS.

Pensijilan FMU adalah di peringkat huluan dan mengendalikan pengeluaran balak manakala pensijilan hiliran - Chain of Custody (CoC) memantau pemprosesan balak dan produknya sehingga ia dieksport.

Di Semenanjung Malaysia, pensijilan FMU diberikan kepada jabatan perhutanan yang menguruskan pengeluaran kayu. Manakala di Sabah dan Sarawak, mereka diberikan kepada syarikat-syarikat perhutanan.

Selain had untuk pembersihan hutan dan perlindungan kawasan sensitif ekologi, kriteria utama lain untuk pensijilan MTCS.

Awal tahun ini, wakil masyarakat Penan ke London untuk menuntut penangguhan import kayu bersijil MTCS, dengan mendakwa pensijilan yang dikatakan "lestari" itu hanyalah rancangan yang hanya untuk memperlihatkan ia tidak menjejaskan alam sekitar (greenwashing).

Pada bulan Julai, MTCC menarik satu daripada sijil Samling untuk FMU Ravenscourt di Sarawak setelah aduan pelanggaran.

[Baca berita asal]