Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

MB S'gor: Pemimpin baik turun padang, bukan timbulkan ketakutan

Seorang pemimpin yang baik harus memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat dan bukannya memainkan sentimen perkauman untuk mencetuskan ketakutan, kata Naib Presiden PKR Amirudin Shari.

Berucap pada Kongres Nasional PKR 2023, dia berkata sejarah telah menunjukkan bagaimana Sultan Melaka, Sultan Alauddin Riayat Shah menangani masalah kecurian yang berleluasa pada zamannya - dengan turun padang dan memerangi pencuri itu sendiri.

“Sejarah Melayu mengajar kita bahawa pemimpin harus turun padang untuk menangani masalah yang dihadapi oleh rakyat.

“Menjadi perdana menteri bukan sahaja pergi ke majlis rasmi, tetapi juga lawatan ke sekolah dan tandas (untuk melihat masalah yang dihadapi rakyat).

"Inilah contoh pemimpin Melayu yang baik seperti yang dinyatakan dalam kesusasteraan sejarah kita. Bukan hanya dengan melaungkan 'Melayu' tetapi sebenarnya bodoh dan menggunakan ugutan untuk menimbulkan ketakutan di kalangan orang Melayu," kata Amirudin dalam ucapan penggulungannya.

Menteri Besar Selangor itu membidas pemimpin pembangkang, khususnya Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin.

Terdahulu dalam ucapannya, Amirudin mengulas mengenai Muhyiddin yang mendakwa orang Melayu kehilangan kuasa di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Dia memberitahu perwakilan bahawa pembangkang telah menggunakan naratif sedemikian untuk meraih sokongan orang Melayu, yang merupakan majoriti di negara ini.

“Jadi, ini satu cabaran kepada kita. Kita kena jelaskan kepada rakyat bahawa kita (PH) mahu menjulang orang Melayu tetapi bukan dengan menggunakan ketakutan dan ugutan.

“Tetapi sebaliknya kita mahu maju bersama setiap kumpulan di negara ini, Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak,” katanya.