Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Rafizi: Penganalisis tak pernah ramal Anwar jadi PM

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli memberitahu ahli partinya hari ini supaya tidak terganggu dengan analisis pakar yang merendahkan parti mereka.

Dalam ucapannya di Kongres Nasional PKR 2023, Rafizi berkata penganalisis dan ahli akademik sentiasa memandang rendah parti itu dan presidennya Anwar Ibrahim.

Katanya, pakar politik sebelum ini memandang rendah PKR sehingga ada yang meramalkan kehancuran parti itu.

“Sebab itu saudara saudari, kalau tengok analisa cerdik pandai di luar ni, bila masa mereka pernah letak Anwar boleh jadi PM? Tak pernah.

“Sebab itu, selama bertahun-tahun sudah jadi disiplin kita, kita dengar, kita tapis tapi kita takkan sekali-kali tunggu untuk didendang.

“Kita memang parti tak pernah didendang dari hari pertama," kata Rafizi dalam ucapan penggulungannya.

Menteri ekonomi itu mengulas tinjauan Merdeka Center baru-baru ini yang mendakwa penarafan kelulusan Anwar dan kerajaan gabungannya merosot, kebanyakannya disebabkan kebimbangan ekonomi.

Menurut Rafizi, tidak pernah sekali pun penganalisis ini mengaku tersilap dalam membuat analisis.

Dia memberitahu ahli parti itu untuk terus berpegang teguh dengan PKR, yang menurut Rafizi akan terus mencatatkan kejayaan walaupun menerima kritikan terhadap mereka.

“Tetapi jika anda mahu disanjung dengan pujian, maka anda perlu menyertai Pribumi (Bersatu).

"Atau, mungkin anda boleh menyertai PAS yang berlagak seperti parti paling popular tetapi tidak pernah menjadi perdana menteri," katanya.

Dalam ucapannya, Rafizi turut membidas penganalisis politik yang didakwa berkongsi data terpilih yang hanya memihak kepada pembangkang.

Sebagai contoh, dia menyorot isu kemerosotan ringgit berbanding Dolar AS dan Dolar Singapura.

Walaupun benar bahawa ringgit telah merosot berbanding dua mata wang itu, Rafizi berkata, pengkritik kerajaan gagal berkongsi bahawa ringgit telah menjadi lebih kukuh berbanding mata wang lain seperti yen Jepun, pound sterling British, won Korea, Euro, Dolar Australia, dan renminbi China. .

"Ringgit kita hanya lemah berbanding USD (dolar AS) dan SGD (dolar Singapura). Tetapi mereka tidak menyebut semua yang lain yang kita telah bertambah kukuh.

"Orang-orang cerdik pandai ini sepatutnya memberitahu segala-galanya, bukan sahaja perkara yang 'walaun' mahu dengar," katanya merujuk kepada cemuhan yang digunakan untuk merujuk kepada penyokong Perikatan Nasional.