Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Nik Nazmi: Jangan putus asa terhadap Kelantan, Terengganu

KONGRES PKR | Naib presiden PKR yang ditugaskan untuk mengetuai pertempuran pilihan raya Pakatan Harapan (PH) di Kelantan dan Terengganu yang didominasi Perikatan Nasional (PN), menggesa ahli parti supaya tidak berputus asa.

Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dalam ucapan penggulungan Kongres PKR ke-17 hari ini berkata walaupun kekalahan mereka sebelum ini dikesali, ahli parti tidak boleh memandang rendah pengundi di Pantai Timur.

“Itulah pandangan kita dulu kepada Selangor, Sabah dan Sarawak tapi kita dapat tembus dan menang.

"Jadi saya yakin kalau kita kerja keras di Kelantan, Terengganu, saya yakin, memang tidak mudah, saya tidak pura-pura ia mudah tetapi kita dapat lakukan breakhthrough sekiranya ada iltizam dan keyakinan tersebut," kata Nik Nazmi.

Ketika berucap kepada perwakilan parti, Nik Nazmi menggesa ahli PKR mencontohi presiden parti dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang terus menyalurkan peruntukan untuk menyelesaikan masalah di Kelantan.

Sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi berkata dia telah menyalurkan RM500,000 untuk projek tebatan banjir di sebuah kampung di Kelantan dalam beberapa bulan pertama memegang jawatan itu.

“Kita kerajaan perpaduan, kita boleh buat penyelesaian jangka masa pendek, sekarang air naik, banjirnya dalam tahap minimum. Dalam tempoh sekejap, kita buat atas dasar kerajaan perpaduan.

“Saya yakin jika kita dapat memenangi hati pengundi di Pantai Timur, InsyaAllah kita boleh merobohkan tembok untuk kita memenangi majoriti sokongan Melayu di seluruh negara,” katanya lagi.

Sementara itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dalam ucapan penggulungannya turut mengingatkan ahli supaya tidak menjejaskan usaha parti mereka sendiri.

Katanya, ahli parti harus berusaha ke arah membina kekuatan dan kejayaan yang lebih besar.

Bekas ahli parlimen Permatang Pauh itu mengimbau perjalanannya sendiri dengan parti yang ditubuhkan untuk mencari keadilan untuk bapanya.

"Pastinya tiada siapa yang sempurna. Tetapi jika kita boleh mempunyai bersangka baik terhadap parti saingan, sudah pasti kita boleh melakukan perkara yang sama terhadap parti kita sendiri," katanya.

"Lihat sekeliling kita, ini adalah orang yang kita ada dalam perjuangan ini bersama-sama," katanya.

Hari kedua dan terakhir kongres tahunan PKR ke-17 diadakan buat pertama kali di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, sekaligus menandakan tahun pertama kerajaan perpaduan pimpinan Anwar sebagai perdana menteri.