Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Rafizi: Tinjauan PKR tunjuk sokongan 'status quo' terhadap Anwar

KONGRES PKR | Tinjauan dalaman yang dijalankan PKR menunjukkan "sokongan status quo" terhadap pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kata timbalan presiden Rafizi Ramli.

Rafizi juga berkata tinjauan Merdeka Center baru-baru ini yang menunjukkan sokongan terhadap Anwar yang merosot ekoran faktor ekonomi perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar.

"Pada bacaan saya, melihat dapatan Merdeka Center itu, kadar sokongan (terhadap Anwar selepas setahun) lebih baik daripada (kadar sokongan selepas setahun) perdana menteri sebelum ini.

"Tapi (kadar) itu tak dibaca oleh orang kerana dia tengok perkara lain," katanya ketika sidang media selepas perasmian Kongres Pemuda dan Wanita PKR di Putrajaya, hari ini.

"Kami (PKR) ada tinjauan sendiri...bacaan dan data kami, bezanya dulu kami siarkan, sekarang tidak siarkan," katanya yang juga menteri ekonomi.

Rafizi mengulas tinjauan Merdeka Center, yang dijalankan pada 4 hingga 24 Oktober lalu dan melibatkan 1,220 pengundi di seluruh negara, yang menunjukkan hanya separuh daripada responden berpuas hati dengan prestasi Anwar, berbanding 43 peratus yang tidak.

Ini merupakan kadar sokongan terendah terhadap Anwar daripada tujuh tinjauan yang dijalankan badan itu sejak dia menjadi perdana menteri pada November tahun lalu.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata tinjauan PKR berkenaan tahap sokongan parti, yang dibuat sejak 2016, menunjukkan trend sokongan yang lebih tinggi pada awal tahun ini, dan sedikit penurunan menjelang pertengahan penggal.

"Nak jadikan (dapatan tinjauan) modal politik adalah hak masing-masing, tapi pada pandangan kami kerajaan pimpinan Anwar berada dalam keadaan paling stabil sekrang kerana politik dalaman yang stabil, sokongan rakyat status quo," kata Rafizi.