Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KDN rampas buku: Perang Dingin sudah lama tamat, kata PSM

Parti Sosialis Malaysia (PSM) berkata kerajaan sepatutnya tidak lagi menggunakan "garis panduan Perang Dingin", susulan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas buku berkaitan gerakan komunis di Malaya.

Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan berkata kerajaan, terutama KDN, bertindak seolah-olah Perang Dingin masih berlangsung, walaupun ia telah berakhir pada 1991.

Katanya lagi, Malaysia juga telah memeterai perjanjian damai dengan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 1989 dan berdagang dengan negara komunis seperti China dan Vietnam.

"Saya diberitahu sebelum ini Cawangan Khas PDRM (SB) dilatih ketika penjajahan British untuk menghidu unsur komunis dan amalan ini diteruskan ketika tahun-tahun awal Merdeka dan diteruskan sehingga hari ini.

"Sudah tiba masanya untuk melihat semula prosedur operasi standard (SOP) 'kursus ulang kaji' dibuat, bermula dengan menteri dalam negeri sendiri...

"Kerajaan Anwar Ibrahim sepatutnya fokus kepada usaha memulihkan ekonomi dan popularitinya, berbanding menghidupkan semula propaganda era Perang Dingin dan komunisme. Sekarang bukan lagi 1989," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rampasan buku

Semalam, penguat kuasa KDN merampas lapan buku terbitan tempatan dalam bahasa Cina yang dikatakan mengandungi "unsur komunis" di kedai buku Gerakbudaya di Petaling Jaya, Selangor, untuk siasatan.

Sekurang-kurangnya lima buku berkisarkan sejarah PKM manakala dua lagi adalah memoir yang ditulis anggota PKM. Satu lagi buku tidak dipastikan.

Dalam kenyataan hari ini, KDN berkata tindakan tersebut kerana pihaknya mengesyaki buku tersebut mengandungi "elemen tidak diingini" menurut Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA).

KDN juga berkata langkah itu dibuat selepas menerima maklumat berkenaan penjualan buku yang mengandungi "unsur komunisme" di kedai buku tersebut.

"Tindakan penahanan penerbitan berkenaan dibuat selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 18 PPPA yang membolehkan penguatkuasa KDN menahan apa-apa hasil penerbitan yang disyaki menyalahi undang-undang untuk tujuan kajian lanjut," kata KDN.

Pada Ogos lalu, KDN turut merampas dua buku di kedai milik penulis Benz Ali di Kuala Lumpur. Salah satu buku yang dirampas adalah berkenaan tokoh komunisme, Karl Marx.

Mengulas lanjut, Arutchelvan berkata tiada keperluan untuk KDN merampas buku yang menceritakan sejarah, kecuali rampasan bertujuan mengalihkan perhatian orang ramai.

"Untuk rekod, buku yang ditulis (pemimpin PKM) Chin Peng sendiri tidak diharamkan dan dijual secara meluas," katanya.

Dia juga berkata KDN sebaiknya membeli buku tersebut dan mengkajinya terlebih dahulu.

"Sepatutnya 'siasat kemudian bertindak', bukan 'bertindak kemudian siasat'," katanya lagi.

Terdahulu, ketika menjawab kritikan berkenaan rampasan di kedai Benz Ali, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata buku-buku tersebut akan dipulangkan jika didapati tiada kandungan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.