Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Bersatu Johor cadang jawatan pengerusi parti dikembalikan

Bersatu Johor hari ini mencadangkan parti itu mengembalikan semula jawatan pengerusi, yang pernah disandang oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Penerangan Bersatu Johor Muhammad Islahuddin Abas berkata presiden parti Muhyiddin Yassin kemudiannya boleh mengambil langkah untuk mengisi jawatan pengerusi, jika dia meneruskan dengan niat untuk tidak mempertahankan jawatan presiden tahun depan.

“Kami dari Johor Bersatu masih berpandangan Tan Sri (Muhyiddin) mesti kekal mengemudi parti sebagai presiden pada pemilihan parti (tahun depan).

"Tetapi dengan berat hati, kami mencadangkan sekiranya beliau masih tidak mahu memegang jawatan presiden dalam pemilihan parti, kami mencadangkan untuk mengembalikan semula jawatan pengerusi Bersatu," kata Ahli Parlimen Mersing itu kepada pemberita di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam.

Islahuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Muhyiddin awal hari ini bahawa dia tidak akan mempertahankan jawatan presiden dalam pemilihan Bersatu tahun depan.

"Kali ini jawatan itu mesti diwujudkan secara perlembagaan," tambah Islahuddin yang menyatakan jawatan pengerusi Bersatu sebelum ini tidak diperuntukkan di bawah perlembagaan parti, dan oleh itu ia kekal kosong sehingga kini.

Mahathir telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi Bersatu pada Februari, 2020, dan tidak lama kemudian Muhyiddin mengumumkan Bersatu keluar dari Pakatan Harapan.

Pada Ogos tahun yang sama, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Redzuan Yusof dilaporkan berkata parti itu akan menghapuskan jawatan itu yang menimbulkan konflik dalaman.