Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Ketua Penerangan Bersatu mengaku tidak bersalah tuduhan menghasut

Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini atas tuduhan menghasut.

Terdahulu, Ketua Bersatu Terengganu itu didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.

Pada 15 Nov, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan polis berhubung ucapan Idris ketika majlis pelancaran jentera pilihan raya kecil (PRK) parlimen Kemaman.

Mengikut kertas pertuduhan, Razali didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan di Padang Astaka Chukai, Kemaman, Terengganu, antara 9.30 malam dan 11.30 malam pada 10 Nov lalu.

Kenyataan tersebut adalah mengenai dakwaan bahawa badan kehakiman dikawal oleh kerajaan.

Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga tiga tahun, denda tidak lebih RM5,000, atau kedua-duanya sekali.

Hakim N Priscilla Hemamalini membenarkan Razali dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin, dan memerintahkan tertuduh tidak membuat sebarang hantaran dalam talian atau ulasan awam mengenai perkara itu sehingga kes selesai.

Dia juga menetapkan 8 Dis untuk sebutan kes.

Terdahulu, timbalan pendakwa raya Kalmizah Salleh meminta agar ikat jamin ditetapkan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Dia juga meminta mahkamah memerintahkan Razali tidak membuat kenyataan lanjut mengenai kes itu, sementara menunggu kes selesai.

Bagaimanapun, peguam bela Razali, Hasshahari Johari Mawi, memohon ikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin, memandangkan tertuduh tidak berisiko melarikan diri.

Peguam itu menegaskan Razali bukan sahaja seorang ketua keluarga yang memiliki dua anak dan menjaga isterinya yang menghidap sakit jantung, malah dia juga seorang senator di Dewan Negara dan anggota exco kerajaan negeri Terengganu.

“Berikutan itu, tiada potensi tertuduh melarikan diri atau menimbulkan risiko mengganggu saksi pendakwaan,” kata Hasshahari.

Peguam itu berkata tidak timbul isu Razali akan mengganggu saksi pendakwaan memandangkan saksi adalah daripada SPRM sendiri.