Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

MP dakwa tentera dibekalkan pakaian sukan 'cap ayam'

PARLIMEN | Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mendakwa anggota tentera di negara ini dibekalkan dengan pakaian dan kasut sukan "cap ayam" kerana tidak berjenama serta tiada kualiti.

Bekas timbalan menteri pertahanan itu berkata dengan peruntukan yang disediakan iaitu RM140 juta, kementerian pertahanan (Mindef) sepatutnya berupaya menyediakan pakaian sukan berjenama antarabangsa dan berkualiti.

Keadaan itu, katanya, berbeza dengan Singapura yang menggunakan pakaian sukan berjenama antarabangsa iaitu New Balance untuk tenteranya.

"Saya difahamkan ketika ini, Mindef melaksanakan perolehan bagi pakaian sukan termasuk kasut dan stoking sukan untuk barangan yang tiada jenama.

"Dalam bahasa pasar di sini kita panggil 'cap ayam' atau kurang bermutu," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Ikmal Hisham lagi jumlah RM140 juta yang diperuntukan itu ialah bagi 2024 dan 2023 dan jika dijumlahkan bernilai RM280 juta.

Dengan kadar itu, tambahnya, ia sudah cukup untuk Mindef melaksanakan perolehan pakaian sukan berkualiti tinggi dan mempunyai jenama antarabangsa.

Ikmal berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2024 di peringkat jawatankuasa bagi Mindef.

Katanya, mungkin telah tiba masa untuk kementerian itu mempertimbangkan perolehan secara tender terbuka antarabangsa bagi memperolehi pakaian sukan berkualiti berjenama antarabangsa.

Anggota tentera sama ada laut, darat dan udara sewajarnya dibekalkan dengan pakaian sukan berkualiti.

"Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua, pakaian sedia ada juga stoking sukan yang diperolehi untuk anggota tentera mudah koyak dan cepat rosak.

"Ia juga tidak melalui inspection (pemeriksaan) di dalam makmal sukan secara intensif," katanya lagi.