Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Hamas, Israel setuju gencatan senjata sementara

Pertubuhan Hamas yang menguasai Gaza dan Israel bersetuju untuk gencatan senjata sementara selepas rundingan perantaraan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat.

Al Jazeera melaporkan kabinet Israel pada Rabu meluluskan gencatan senjata sementara dengan kumpulan Hamas

Ini dijangka menghentikan pertempuran dalam perang enam minggu yang dahsyat dan membebaskan berpuluh-puluh tebusan Israel yang ditawan di Semenanjung Gaza.

Perjanjian itu memerlukan paling kurang gencatan senjata selama empat hari, dengan Israel akan menghentikan serangan di Gaza manakala Hamas membebaskan "sekurang-kurangnya" 50 daripada kira-kira 240 tebusan yang ditahannya.

Tebusan pertama yang dijangka akan dibebaskan ialah wanita dan kanak-kanak, kata Pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

Hamas, pada kenyataan dipetik Al Jazeera mengesahkan 50 wanita dan kanak-kanak yang kini ditahan di wilayah itu akan dibebaskan sebagai pertukaran untuk Israel membebaskan 150 wanita dan kanak-kanak Palestin dari penjara Israel.

Bagaimanapun, pihak Israel tidak menyebut mengenai pembebasan tahanan Palestin di penjaranya.

Hamas berkata Israel juga akan menghentikan semua tindakan ketenteraan di Gaza, dan ratusan trak yang membawa bantuan kemanusiaan, perubatan dan bahan api akan dibenarkan masuk ke wilayah itu.

Qatar mungkin akan membuat pengumuman rasmi mengenai gencatan senjata sementara dengan tawanan pertama dijangka dibebaskan kira-kira 24 jam selepas itu.

Tiga tawanan Amerika turut dijangka dibebaskan dalam perjanjian Gaza, kata pegawai AS.

Pegawai itu dilaporkan berkata Washington menjangkakan bahawa lebih daripada 50 tawanan akan dibebaskan sebagai sebahagian daripada fasa awal perjanjian itu.

Kini presiden Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) telah berada di Qatar yang menempatkan pejabat Hamas dan menjadi pusat rundingan gencatan senjata.

ICRC pada satu kenyataan berkata presidennya, Mirjana Spoljaric, telah pergi ke sana untuk "mengetengahkan isu kemanusiaan" berkaitan konflik itu.

Walaupun ICRC menegaskan pertubuhan itu tidak mengambil bahagian dalam rundingan langsung yang membawa kepada pembebasan tebusan, ia membantu memudahkan pembebasan setelah ia dipersetujui oleh pihak terlibat.

Setakat ini, kumpulan itu telah memudahkan pembebasan empat tebusan yang dibebaskan oleh Hamas - seorang ibu dan anak perempuan - yang merupakan warga AS - dan dua wanita warga emas Israel.

"Sebagai perantara kemanusiaan yang neutral, kami tetap bersedia untuk memudahkan sebarang pelepasan masa depan yang dipersetujui oleh pihak-pihak dalam konflik," kata ICRC.

Perjanjian ini merupakan gencatan senjata pertama perang dengan Israel telah memusnahkan sebahagian besar Gaza, yang menempatkan kira-kira 2.3 juta orang.

Pihak berkuasa Palestin berkata sekurang-kurangnya 14,100 orang telah terbunuh manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan kira-kira 1.7 juta orang telah dipaksa keluar dari tempat tinggal mereka.