Banjir T'ganu makin buruk: Lebih 4,700 mangsa di PPS
Seramai 5,202 mangsa banjir berada 38 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri terjejas iaitu Terengganu, Kelantan dan Perak setakat 8 pagi ini.
Situasi banjir di TERENGGANU semakin buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan pagi ini meningkat kepada 4,787 berbanding 4,476 orang pada 10 malam.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, daerah Kuala Nerus paling teruk terjejas dengan 1,486 mangsa daripada 388 keluarga ditempatkan di 13 PPS manakala di Kuala Terengganu seramai 1,095 orang daripada 319 keluarga berlindung di lima PPS.
Sementara itu, di Besut 637 mangsa daripada 148 keluarga dipindahkan ke empat PPS manakala di Marang, seramai 1,227 mangsa daripada 307 keluarga ditempatkan di tujuh PPS.
Di Setiu pula, jumlah mangsa semakin berkurang apabila hanya lapan mangsa daripada tiga keluarga berlindung di sebuah PPS manakala Dungun menjadi daerah terbaru dilanda bencana itu dengan 23 mangsa daripada lima keluarga kini berlindung di sebuah PPS.
Sementara itu, publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air menunjukkan Sungai Nerus di Kampung Bukit, Sungai Setiu di Kampung Besut dan Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri berada pada tahap waspada manakala di Kuala Nerus, stesen Parit Utama di Padang Kemunting kini mencecah paras bahaya 3.95 meter. (m).
Situasi banjir di negeri itu juga menyebabkan beberapa jalan terpaksa ditutup termasuk Jalan Penghubung Lebuhraya Pantai Timur (LPT)-Bukit Payong dan Kampung Kelulut yang hanya dibuka kepada kenderaan berat.
Di KELANTAN, 376 orang daripada 97 keluarga ditempatkan di tujuh PPS pagi ini, meningkat berbanding 316 orang daripada 80 keluarga malam tadi, menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Seramai 302 mangsa di jajahan Pasir Puteh berlindung di empat PPS, di Jajahan Bachok dua PPS dibuka menempatkan 69 mangsa manakala sebuah PPS beroeprasi di Jajahan Machang dengan lima mangsa berada di lokasi itu.
Sementara itu, Sungai Golok di Rantau Panjang melepasi paras amaran apabila mencatatkan 8.37m.
Di PERAK, jumlah mangsa di daerah Kerian kekal 39 orang daripada 14 keluarga yang berlindung di sebuah PPS di Alor Pongsu.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan berterusan di daerah Kerian, Larut Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Manjung sehingga esok.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai