Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

'Tingkatkan daya saing pelabuhan, tak perlu risau cadangan jambatan darat Thai'

Malaysia perlu bekerja keras bagi meningkatkan daya saing serta produktiviti pelabuhannya, dan bukannya bimbang mengenai cadangan projek jambatan darat (landbridge) Thailand, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

"Apa yang penting ialah kita mesti memperbaiki diri dari segi kecekapan, daya tahan dan produktiviti.

“Syarikat perkapalan hanya akan tiba ke pelabuhan kita apabila kita mempunyai kargo untuk dibawa masuk dan keluar.

“Tiada apa yang perlu dibimbangkan," katanya kepada media persidangan selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan, di Putrajaya semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai rancangan Thailand untuk membina jambatan darat sebagai alternatif penting, dalam mengurangkan masa penghantaran barang dagangan antara lautan Hindi dan Pasifik dengan memintas Selat Melaka yang sesak.

Katanya Malaysia akan mengikuti perkembangan projek itu dengan teliti.

"Ia (jambatan darat) masih belum dibina, ia hanya cadangan.

“Cadangan untuk membina terusan di Thailand sudah berlarutan sejak bertahun-tahun lamanya sebelum ini, dan masih belum menjadi kenyataan," katanya.

Pada 14 Nov, Perdana Menteri Thai Srettha Thavisin mencadangkan 1 trilion Baht (100 Baht = RM13.08) projek jambatan darat kepada pelabur di Amerika Syarikat, mempromosikan jalan pintas laluan perkapalan sebagai alternatif yang lebih murah, pantas dan selamat sebagai alternatif kepada Selat Melaka.

Dalam perkembangan lain Loke berkata penggunaan cermin gelap kereta adalah pilihan bebas pengguna, dan ibu bapa yang mempunyai anak dinasihatkan untuk tidak memasangnya cermin gelap pada kenderaan bagi menjaga keselamatan anak-anak mereka di dalam kereta.

"Dari segi cermin gelap kenderaan, ia adalah perlu bagi orang tertentu atas sebab kesihatan dan keselamatan.

"Kita tidak boleh ambil tindakan haramkan penggunaan cermin gelap semata-mata disebabkan satu kes sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas syor Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mengharamkan penggunaan cermin gelap pada kenderaan susulan insiden bayi maut selepas ditinggalkan lama secara tidak sengaja di dalam kenderaan.

- Bernama