Peserta himpunan anggap mahkamah syariah terancam
Rata-rata peserta Himpunan Pertahan Syariah di pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya hari ini mempersoalkan langkah diambil Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, bersama anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman.
Bagi mereka tindakan peguam dan anak perempuannya itu bukan sekadar mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebaliknya turut menjejaskan undang-undang syariah di negara ini.
Walaupun kebanyakannya tidak mengetahui dengan terperinci isu permohonan semakan undang-undang peguam dari Kelantan itu, mereka yakin tindakan tersebut menjejaskan sistem perundangan syariah di Malaysia.
Seorang peserta perhimpunan, Amirul Nazmi Anuar, 26, berkata tuntutan Nik Elin itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa enakmen-enakmen syariah di Kelantan tidak relevan.
"Dia seolah-olah ingin mencabar apa yang dilakukan oleh struktur mahkamah syariah itu sendiri dan hendak menyamakan undang-undang syariah ini dengan undang-undang sivil.
"Kalau kita lihat kehakiman dalam undang-undang sivil, ia tidak ada bidang kuasa untuk kuat kuasakan undang-undang berlandaskan syariah," katanya lagi.
Namun, pemuda dari Jelebu, Negeri Sembilan itu ketika ditanya adakah dia mengetahui mengenai peruntukan-peruntukan yang dibawa Nik Elin ke mahkamah, dia menjawab tidak tahu.
"Yang itu (peruntukan) saya tak tahu, saya tak jelas lagi," katanya.
Bagi peserta dari Lumut, Hamidun Ahmad, dia pula berpendapat hal-hal yang berkaitan dengan orang Islam sepatutnya dibicarakan di mahkamah syariah.
"Jika kes hubungan sejenis antara lelaki, telah ada undang-undang berkaitan pada enakmen tersebut, tapi dia pertikai jika sudah ada di Mahkamah Persekutuan.
"Kenapa perlu ada di mahkamah syariah, sepatutnya jika pesalah orang Islam dibicara di mahkamah syariah.
"Apa lagi yang tinggal pada umat Islam jika undang-undang syariah ini dibatalkan? Banyak pemikiran orang Islam sekarang seperti pemikiran liberal," dakwanya yang kini berusia 61 tahun.
Persoalan bidang kuasa
Sementara itu, wakil kumpulan guru-guru al-Quran Pro Academy yang turut hadir mempersoalkan tindakan Nik Elin dengan mendakwa wanita terbabit sengaja ingin mencabar kewibawaan Islam.
"Kami ingin tahu kenapa dia buat tindakan yang seolah-olah mencabar agama Islam? Mencabar undang-undang syariah sama seperti mencabar Islam," kata wakil kumpulan tersebut yang enggan dikenali.
Seorang lagi peserta yang enggan dinamakan hanya menjawab ringkas soalan wartawan tentang tujuannya hadir ke perhimpunan tersebut.
"Ingin mempertahankan undang-undang yang ingin dibatalkan," katanya.
Wanita terbabit datang dari Alor Setar, Kedah dan tiba di Putrajaya kira-kira jam 5 pagi tadi.
Melalui permohonan dikemukakan Nik Elin dan anaknya itu, mereka berhujah DUN Kelantan melangkaui bidang kuasa dengan mewartakan 20 peruntukan di bawah enakmen tersebut.
Mereka mendakwa Senarai II (atau Senarai Negeri) dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan melarang negeri menjadikan perkara-perkara yang digubal DUN Kelantan sebagai kesalahan jenayah syariah.
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat pula hari ini sekali lagi menegaskan kes yang didengar tidak melibatkan sebarang usaha merendahkan kedudukan Islam di negara ini.
Kata Tengku Maimun, petisyen Nik Elin hanya membabitkan kompetensi kerajaan negeri menggubal undang-undang.
"Kenyataan bahawa mahkamah syariah akan berkubur di Malaysia adalah tidak betul.
“Tanggapan itu salah kerana pendengaran hari ini hanya bertujuan mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, bukan merendah-rendahkan enakmen dan mahkamah syariah,” katanya lagi.
PANDUANKINI | Penjelasan petisyen Nik Elin
Sementara itu Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata PN sedia menyokong kerajaan jika Putrajaya mengambil langkah meminda perlembagaan bagi menyesuaikan peruntukannya dengan kuasa negeri menggubal sesuatu enakmen.
"Insya-Allah kami di PN bersedia menyokong.
"Kita tidak pun mengganggu-gugat, atau untuk mengubahkan struktur perlembagaan, kita hanya pertahankan yang sedia ada saja," katanya yang turut hadir bersama kira-kira 2,500 penyokong PAS pagi tadi.
Idris juga menegaskan himpunan berkenaan bertujuan untuk mempertahankan bidang kuasa mahkamah syariah "yang dicabar" oleh Nik Elin Zurina dan Tengku Yasmin.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai