Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Tak payah bayar kalau tak mampu di D 'Tok Ngulu

Sejak memulakan perniagaan kedai makan di Indera Mahkota dekat Kuantan, Pahang pada 2018, pasangan suami isteri ini sudah berniat untuk memperkenalkan konsep infak.0

Bukannya mereka mencari publisiti atau mencipta kandungan media sosial, tetapi Arlimin Che Ayob dan Nor Solihah Nasir sepakat untuk berbuat demikian kerana pernah berdepan kesukaran dalam hidup mereka.

"Pengalaman yang kami lalui sebelum ini mendorong untuk kami memperkenalkan konsep infak di kedai ini.

"Saya pun bukan daripada keluarga yang senang, saya faham ramai yang berdepan masalah ketika ini, terutamanya golongan pelajar sebab kami berdua pun pernah jadi pelajar dulu," kata Arlimin, 41, kepada Malaysiakini, semalam.

Menurut pemilik kedai makan D 'Tok Ngulu itu, jika ada pelajar yang kurang berkemampuan untuk membayar makanan yang diambil, ia dihalalkan begitu saja.

"Makanlah apa yang ada dan mereka tak perlu bayar jika tak mampu," katanya.

Arlimin Che Ayob

D 'Tok Ngulu mula dibuka untuk melayan pengunjung seawal 7 pagi dan beroperasi hingga jam 6 petang setiap hari kecuali Ahad.

Antara menu disediakan di situ ialah nasi lemak, nasi kerabu dan pelbagai jenis sup.

Semua menu itu adalah hasil air tangan Arlimin bersama Nor Solihah, 38, dan dibantu beberapa orang pekerja mereka.

Kata Arlimin, di kedai itu juga ditawarkan mi celup dan nasi ayam.

Ditanya sama ada konsep itu mengakibatkan perniagaan mereka mengalami kerugian, terutama apabila berdepan dengan kos bahan mentah yang tinggi ketika ini, Arlimin berkata setakat ini mereka masih mampu bertahan.

"Prinsip saya mudah - kita kena percaya dengan apa yang dijanjikan Allah sebab Dia sudah berjanji - satu kita bagi (bersedekah), Dia akan balas dengan tujuh kebaikan.

"Alhamdulillah, sepanjang kami melakukan konsep infak ini, rezeki kami sentiasa ada malahan tidak putus-putus.

"Saya dan isteri dah dapat rasa dan nikmati kesan daripada usaha kami," katanya.

Ada impian lanjut

Nor Solihah pula berkata selain mencari rezeki halal ada sesuatu nikmat yang diperolehi hasil langkah mereka membuka pintu kepada orang yang memerlukan.

"Kepuasan bersedekah itu sukar nak diceritakan," katanya yang memiliki dua cahaya mata berusia lima dan lapan tahun.

Ketika diminta berkongsi antara pengalaman menarik sepanjang mengusahakan kedai itu, Arlimin memberitahu dia mengenali dua pelajar dari sebuah politeknik yang sanggup mengayuh basikal lebih 7km untuk datang ke kedai mereka.

Katanya, pelajar itu biasanya akan datang ketika kedai berkenaan hampir ditutup untuk membungkus makanan.

Arlimin bersama isterinya berbual dengan pelajar di kedai mereka

"Sebenarnya ramai pelajar yang susah, mereka terpaksa berjimat untuk belajar dan makan.

"Macam dua pelajar itulah, mereka berbasikal kerana mungkin sudah tak tahu ke mana nak tuju untuk mendapatkan makanan dan saya selalu pesan tiap kali mereka datang, bawalah kawan lain sekali, jangan biar ada yang terpaksa tidur dalam keadaan lapar," katanya.

Dia juga mengakui pernah didatangi beberapa NGO yang ingin bekerjasama untuk memperluaskan konsep infak mereka.

Namun, katanya, buat masa ini dia lebih selesa bergerak secara sederhana seperti sekarang.

"Saya bimbang kalau tak mampu sediakan lebih daripada apa yang kami boleh buat ketika ini, jadi biarlah macam ini saja.

"Cuma kalau ada rezeki, saya ada impian untuk membuka pasar raya atau pasar mini yang juga menggunakan konsep infak," katanya.

Nor Amira Mohd Khir Johari

Sementara itu, seorang pelajar yang ditemui di kedai itu, Nor Amira Mohd Khir Johari, berkata dia sudah beberapa kali ke kedai berkenaan.

Pada awalnya, kata Nor Amira, dia tidak tahu pun pasangan suami isteri berkenaan menawarkan 'kedai rahmah' kepada golongan yang kurang berkemampuan.

"Sebelum ini saya cuma dengar menu Rahmah saja.

"Bagus sangatlah ada inisiatif ini sebab macam kami (pelajar) memang kadang-kadang duit tak cukup, keluarga pula jauh.

"Lepas ini insya-Allah saya akan bagitahu kawan-kawan yang ada masalah kewangan untuk makan, mereka boleh datang ke sini," katanya.