Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Anwar bangga Brunei, Indonesia dan M'sia sepakat isu Gaza

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau berasa bangga kerana Brunei, Indonesia dan Malaysia sepakat serta tegas dalam isu Gaza di Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di San Francisco pada Jumaat.

“Saya bangga dalam hal ini, Indonesia, Malaysia dan Brunei sepakat serta tegas. Tuanku Sultan Brunei (Sultan Hassanal Bolkiah) ada menyatakan tentang pertelingkahan di Timur Tengah.

"Presiden Indonesia Jokowi menyebut tentang kekejaman yang berlaku di Gaza,” kata beliau kepada media Malaysia pada akhir lawatannya ke Amerika Syarikat (AS) hari ini.

Anwar tiba di San Francisco pada 13 Nov lepas bagi menghadiri edisi ke-30 mesyuarat itu yang berlangsung dari 14 hingga 17 Nov.



Seperti dijangka, Ekonomi-Ekonomi Apec gagal mencapai konsensus bagi perenggan yang diusulkan oleh Amerika Syarikat berhubung isu geopolitik di antara Rusia dan Ukraine.

Perdana Menteri berkata memandangkan isu itu dibawa ke platform Apec, Malaysia telah berbincang dengan Ekonomi-Ekonomi yang sehaluan dan sepakat untuk memperkenal perenggan berhubung krisis kemanusiaan di Gaza.

Sebagai kompromi, pihak AS selaku tuan rumah telah bersetuju mengeluarkan elemen geopolitik daripada kedua-dua kenyataan AELM dan AMM serta akan mengetengahkan isu geopolitik dalam Kenyataan Pengerusi sahaja.

Pada masa sama, Malaysia, Brunei Darussalam dan Indonesia akan mengeluarkan Kenyataan Bersama yang menyatakan pendirian teguh dan pandangan lebih jelas tentang perbincangan mengenai krisis kemanusiaan di Gaza pada Apec 2023.

Hanya dalam Kenyataan Pengerusi mengenai Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Apec mereka ada menyebut tentang Gaza.

Menurut kenyataan itu, “Kami telah bertukar-tukar pandangan mengenai krisis yang sedang berlaku di Gaza.

“Para pemimpin, termasuk Amerika Syarikat, berkongsi pendirian masing-masing. Sesetengah pemimpin juga berkongsi mesej bersama Sidang Kemuncak Bersama Negara Arab-Islam di Riyadh pada 11 Nov 2023.”

Perdana Menteri berkata beberapa pemimpin telah membantah kemasukan perkara itu dalam Deklarasi Golden Gate Pemimpin-Pemimpin Apec 2023 atas alasan mereka tidak percaya bahawa Apec adalah forum bagi membincangkan isu geopolitik.

“Secara keseluruhan, saya gembira kerana ini adalah satu pendirian yang penting.

“Kami bukanlah ahli yang ingin mempamerkan sikap suka melawan atau berperang sebaliknya kami mengambil pendirian sebagai rakan,” kata Anwar ketika ditanya sama ada beliau gembira dengan penglibatan secara keseluruhdan dalam Apec 2023.

“Saya tidak menggunakan Forum itu untuk melontarkan kecaman sebaliknya membuat rayuan bagi menghentikan kekejaman yang sedang berlaku di Gaza,” katanya.

Menurut Agensi Anadolu yang memetik kenyataan pejabat media kerajaan Palestin, angka kematian di negara itu dalam krisis yang berlanjutan sejak 7 Okt lepas telah melepasi 12,000.

Turut hadir pada sidang media itu Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Konsul Jeneral Malaysia di Los Angeles Anil Fahriza Adenan.

Terdahulu, Perdana Menteri bertemu dengan kira-kira 400 diaspora Malaysia yang majoritinya adalah pelajar. Pelbagai persoalan dan isu telah dibincangkan termasuk dwikerakyatan, Ringgit serta penghijrahan cendekiawan.

- Bernama