Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Status peluk Islam: 137 Orang Asli fail rayuan di Mahkamah Rayuan

Sekumpulan Orang Asli memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan bagi membatalkan status Islam mereka yang didakwa dipaksakan ke atas mereka menerusi penukaran agama beramai-ramai yang dikatakan menyalahi undang-undang pada 30 tahun lalu.

Kumpulan Orang Asli suku Mayah Bateq ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 3 Oktober lalu, yang membenarkan permohonan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang (Muip) dan empat pihak lagi untuk membatalkan saman yang difailkan mereka.

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam yang sebelum ini mewakili mereka, Fahri Azzat mengesahkan bahawa notis rayuan difailkan pada 12 Oktober lalu.

Dia berkata selepas membantu kumpulan tersebut memfailkan rayuan, firma guamannya menarik diri daripada kes itu.

Menurut Fahri, mereka akan diwakili firma guaman Seira & Sharizad dalam rayuan tersebut.

Selain Muip, empat lagi pihak dalam permohonan untuk membatalkan tindakan Orang Asli ini adalah kerajaan persekutuan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) serta pengarah dan pegawainya.

Dalam saman yang difailkan kumpulan Orang Asli ini, mereka mendakwa pertukaran agama dilakukan secara salah dan haram ke atas Orang Asli di Kampung Benchah Kelubi, Merapoh, Kuala Lipis, Pahang, pada April 1993.

Kertas kausa mendakwa bahawa 57 daripada plaintif telah bertukar agama semasa kejadian itu manakala baki plaintif adalah anak mereka, yang dilahirkan kemudian dan juga mempunyai perkataan Islam pada kad pengenalan mereka kerana keturunan.

Plaintif mendakwa bahawa pada awal 1993, wakil Jakoa bukan sahaja telah meminta dua ketua kampung untuk memeluk agama Islam tetapi juga meminta penduduk kampung lain berbuat perkara yang sama.

Mereka mendakwa apabila penduduk kampung enggan berbuat demikian, seorang pegawai Jakoa yang melawat kampung itu telah mengeluarkan beberapa ugutan untuk memastikan penukaran agama mereka.

Antara ugutan itu ialah penduduk kampung tidak akan dibenarkan tinggal di kampung tersebut lagi, rumah dan tanaman mereka akan dimusnahkan, orang kampung akan dihalau dan diseksa jika mereka lari ke gunung.

Mereka mendakwa bahawa penduduk kampung tidak dimaklumkan tentang implikasi undang-undang apabila memeluk Islam, iaitu mereka akan tertakluk kepada rangka kerja perundangan Islam Pahang dan anak yang dilahirkan kepada mereka secara automatik juga beragama Islam.

Mereka juga mendakwa walaupun mereka menganut atau mengamalkan Islam berikutan penukaran agama secara besar-besaran itu namun mereka terus mengamalkan kepercayaan budaya serta agama Bateq Mayah.

Mereka mendakwa bahawa selepas tahun 2000 apabila lebih ramai penduduk kampung belajar bercakap asas Bahasa Melayu, mereka kemudian menyedari bahawa perkataan "Islam" tertera pada kad pengenalan mereka.

[Baca berita asal]