Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Wan Fayhsal: MP Labuan 'khianat' pada Bersatu

Nota editor: Pagi ini, kami memadam satu laporan berdasarkan kenyataan yang dikaitkan dengan Wan Ahmad Fayhsal yang kami terima dari sumber berwibawa tetapi bukan sumber rasmi. Kami telah menghubungi Wan Ahmad Fayhsal untuk memohon maaf. Sebarang kesuliatan terhadap pembaca dikesali. Petang ini dia mengadakan sidang media dan membaca empat daripada lima perenggan yang terkandung dalam kenyataan media tidak rasmi yang kami terima tersebut.

PARLIMEN | Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan Ahli Parlimen Labuan daripada parti itu, Suhaili Abdul Rahman sebagai "pengkhianat".

Wan Ahmad Fayhsal mendakwa Suhaili, yang kini digantung enam tahun daripada Bersatu atas tindakannya menyokong Anwar Ibrahim, turut terlibat dalam usaha mendapatkan sokongan ahli parlimen lain untuk menyokong perdana menteri.

Dalam sidang media di Parlimen hari ini, Wan Ahmad Fayhsal yang juga ahli Parlimen Machang menuduh Suhaili bersubahat dengan seorang individu yang semalam dirujuknya sebagai "Datuk Botak".

"(Saya) mengulas kenyataan medianya (Suhaili) semalam yang menuduh saya mereka cerita tentang Datuk Botak. Hakikatnya dia turut terlibat.

"Datuk Suhaili (MP) Labuan, dan saya beritahu ini kepada media, terlibat untuk menarik ahli Parlimen kami untuk menyokong perdana menteri," dakwa Wan Fayhsal.

"Dia juga salah seorang operator sekarang. Dia pengkhianat. Senang cerita, saya gelar dia pengkhianat," katanya lagi.

Suhaili Abdul Rahman

Wan Fayhsal kemudian menceritakan insiden yang didakwa berlaku dalam satu mesyuarat Bersatu yang dihadirinya, bersama-sama setiausaha agung Hamzah Zainudin.

Dia mendakwa seorang lagi ahli Parlimen Bersatu yang hadir dalam mesyuarat itu turut dihubungi Suhaili, yang didakwa ingin mendapatkan sokongan kepada pentadbiran Anwar.

"Bila ahli Parlimen kami beri telefon kepada ketua pembangkang (Hamzah), terkejutlah dia (Suhaili).

"Sebab dia ingat boleh bercakap dengan ahli Parlimen (secara sendiri). Rupa-rupanya kami dalam satu mesyuarat," katanya.

"Dia tak pernah putus asa sejak menyatakan sokongan kepada perdana menteri. Dia cuba cari seorang demi seorang ahli Parlimen Bersatu. Jadi ini pendekatan terang-terangan olehnya.

"Sebab itu dia pengkhianat Bersatu dan kami telah gantung dia selama enam tahun," katanya lagi.

Malaysiakini telah menghubungi Suhaili berkenaan dakwaan ini.

Ketika mengulas dakwaan awal Wan Fayhsal semalam, Suhaili menafikan dia dan tiga lagi ahli Parlimen Bersatu diancam untuk menyokong kerajaan.

Suhaili juga menafikan dakwaan Wan Fayhsal yang mereka berempat dihubungi "Datuk Botak", sama ada menekan mereka atau menjanjikan projek dan habuan wang tunai.

Semalam Wan Fayhsal mendakwa "Datuk Botak" dan bekas setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador bertanggungjawab menarik sokongan empat ahli Parlimen pembangkang untuk menukar sokongan kepada Anwar.

Farhash Wafa Salvador

Farhash dalam respons segeranya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkenaan yang disifatkan sebagai fitnah dan berniat jahat.

Namun Wan Fayhsal hari ini berkata dia hanya membacakan laporan polis yang dibuat Pemuda Bersatu. Katanya, Pemuda Bersatu turut menyerahkan "bukti video" yang didakwa menunjukkan Farhash bersama-sama "Datuk Botak" dan empat ahli Parlimen itu di Parlimen.

"Bukti ada dalam video...jadi polis boleh siasat.

"Bagus dia (Farhash) nafi semalam. Tapi biar polis yang bersihkan namanya kerana video itu telah disebar," katanya lagi.

Dia menegaskan Pemuda Bersatu akan membuat tindakan susulan dengan membuat laporan terhadap SPRM.

Selain Suhaili, tiga lagi ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Anwar adalah Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).

Mereka berkata langkah itu dibuat selepas mengambil kira kepentingan dan kebajikan penduduk di kawasan mereka.