Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Isu kerakyatan: K’jaan guna mekanisme dalaman urus pendirian berbeza

Kerajaan akan menggunakan mekanisme dalaman untuk menangani perbezaan pendirian anggota parlimen berkaitan cadangan pindaan perlembagaan berhubung pemberian kerakyatan, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Perkara itu dinyatakan selepas terdapat anggota parlimen kerajaan memberi amaran terhadap sesetengah anggota Dewan Rakyat yang mungkin mengundi berbeza dengan kehendak parti.

“Kita akan uruskan secara mekanisme dalaman. Sebab itu saya sebut ada libat urus nanti dengan semua MP. Bukan saja blok kerajaan tetapi juga blok pembangkang.

“Semua sudah ada jadual. Kita akan adakan libat urus untuk dapatkan maklum balas semuanya.

“Kita nak hasil yang terbaik dalam cadangan ini,” katanya dalam sidang media di parlimen hari ini.

Minggu lalu Howard Lee (Pakatan Harapan- Ipoh Timor) memberikan amaran itu.

Katanya, perkara itu mungkin berlaku jika Kementerian Dalam Negeri tidak mengguna pakai pendekatan penyahgandingan (decoupling) terhadap cadangan-cadangan pindaan.

Lee tidak menyebut secara khusus pindaan yang dirujuknya, tetapi sumber mendakwa bahawa penyahgandingan dicadangkan oleh pemimpin DAP untuk memisahkan antara “pindaan hak yang positif daripada pindaan hak yang negatif”.

Menurut Malaysian Citizenship Rights Alliance, rang undang-undang (RUU) itu mempunyai tujuh pindaan perlembagaan yang memberikan kerakyatan automatik kepada anak yang lahir di luar negara jika ibu mereka warganegara Malaysia.

Bagaimanapun, lima lagi pindaan lain dikritik kerana menyukarkan kumpulan lain, antaranya anak terbiar dan anak penduduk tetap.

[Baca berita asal]