Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

ULASAN | Pertahan undang-undang syariah secara objektif, kolektif

ULASAN | Undang-undang jenayah syariah terbentuk atas keperluan untuk menjaga umat Islam di Malaysia dalam perkara-perkara yang melanggar ajaran Islam. Undang-undang jenayah syariah yang terkhusus kepada orang yang menganut agama Islam terbentuk atas semangat dan tanggungjawab memelihara akidah Islam, kesucian Islam dan kemuliaan akhlak melalui penguatkuasaan undang-undang.

Dalam kes Nik Elin Zurina lawan kerajaan Kelantan, sebanyak 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan (1) 2019 dipertikaikan keabsahannya atas alasan perundangan bahawa 20 peruntukan kesalahan tersebut bertindan dengan peruntukan undang-undang yang telah digubal di peringkat Persekutuan, justeru ia dianggap tidak sah dan terbatal.

Kes ini bermula dengan notis usul yang telah difailkan pada 25 Mei 2022. Selanjutnya kebenaran untuk memulakan prosiding ke atas kerajaan Kelantan telah diberikan oleh Mahkamah Persekutuan kepada pempetisyen pada 30 September 2022. Petisyen kes ini difailkan pada 13 Oktober 2022.

Perlu dimaklumkan bahawa semasa notis usul pada 25 Mei 2022 tiada bantahan dibuat oleh kerajaan PN pada waktu itu mahupun kedengaran bantahan secara politik oleh PAS untuk 'selamatkan syariah' yang ketika itu menjadi kerajaan di peringkat persekutuan dan kerajaan di Kelantan.

Pada 17 Ogos 2023, sebutan kes berjalan dan anehnya barulah kedengaran PAS melalui timbalan presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man membangkitkan isu ini pada 8 November dan dia menganggapnya sebagai sesuatu yang serius untuk mencabar Mahkamah Syariah.

PAS turut memaklumkan satu perhimpunan besar akan diadakan di Terengganu dan Kelantan dan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya dalam menyahut seruan gerakan 'selamatkan syariah'.


PANDUANKINI | Penjelasan tentang petisyen cabar enakmen syariah Kelantan


Saya menyeru seluruh umat Islam agar mempertahankan undang-Undang Syariah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Segala pertikaian dan langkah mencabar keabsahan undang-Undang syariah perlu ditangani secara tanggungjawab bersama tanpa perlu mempolitikkannya untuk membuktikan siapa yang lebih Islamik.

Dakwaan seolah-olah Kerajaan Perpaduan tidak membantah permintaan kebenaran pempetisyen tidak masuk akal kerana notis usul kes telah pun difailkan pada 25 Mei 2022 dan tiada bantahan dibuat ketika itu oleh kerajaan PN.

Saya khuatir isu RUU 355 yang pernah dipolitikkan oleh PAS suatu ketika dahulu akan berulang di mana umat Islam dan negara diheret sekali lagi kepada satu kancah pertikaian yang asalnya adalah soal perundangan dan kuasa-kuasa yang diperuntukkan.

Semasa PN menjadi kerajaan pada 2020-2022, tiada pula dilihat sesuatu hasil atau sekurang-kurangnya langkah ke arah pelaksanaan RUU 355 yang heboh dimainkan sebelum PAS menjadi sebahagian kerajaan - di mana waktu itu pemimpin PAS memegang portfolio agama dan undang-undang, sama ada sebagai menteri atau timbalan menteri.

Sementara saya tidak bersetuju kes mencabar keabsahan undang-undang syariah di negara ini, saya juga tidak setuju isu ini dipolitikkan.

Saya akan mempertahankan keabsahan undang-undang syariah secara objektif iaitu melalui kekuatan hujahan di mahkamah, di mana kita harus mempertahankan kuasa-kuasa yang diperuntukan dalam lingkungan hak dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pihak Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) sebagai responden menjadi 'sahabat mahkamah' (amicus curae), selain Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan pelbagai pihak dari NGO menjadi pemerhati. Tidak ada mana-mana pihak yang mahu melihat perundangan syariah di Malaysia terhapus.

Melihat kepada hujahan Maik dan MAIWP sebagai 'amicus carea' mempertahankan keabsahan 20 peruntukan jenayah syariah dari Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan (1) 2019, saya yakin kita mempunyai hujahan yang kuat untuk mempertahankan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan (1) 2019 berpandukan kepada premis hujahan kuasa negeri menentukan undang-undang ke atas orang Islam jika berlaku pelanggaran akidah, kesucian Islam dan kemuliaan akhlak yang merupakan kesalahan-kesalahan mengikut ajaran Islam.

Hujahan Maik juga menarik dalam mempersoalkan local standi pempetisyen dan kuasa Mahkamah Persekutuan dalam menentukan sama ada bolehkah ia menetapkan undang-undang negeri terbatal (void) atau sekadar menetapkan ia tidak sah (null). Soal mencabar inconsistency (ketidaksamaan) setakat mana ia bercanggah dengan kuasa Persekutuan menjadi hujahan bahawa isu yang dipertikaikan adalah konsisten dan tidak bercanggah dengan kuasa Persekutuan. Semoga hujahan ini turut membantu pihak panel hakim membuat keputusan yang adil dan berhikmah.

Apa yang lebih penting, apa juga keputusan dalam petisyen ini seharusnya menyemarakkan lagi azam dan tekad untuk kita memperbaiki institusi mahkamah dan perundangan syariah dari semua aspek, yang masih perlu dikemas kini dan perlu diletakkan semua perkiraan dalam menggubal dan meminda mana-mana enakmen di masa hadapan.

Reformasi menyeluruh perundangan syariah perlu digerakkan dan alhamdulillah semasa saya diamanahkan untuk menjaga hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan (2018-2020), kita telah berjaya menggubal Akta Profesion Guaman Syarie (2019), Inisiatif Keseragaman Undang-Undang Jenayah Syariah termasuk membawa unsur rehabilatatif dalam penghakiman dan mewujudkan Mahkamah Hadhanah untuk menyelesaikan kes-kes tuntutan dan hak penjagaan, termasuk memasukkan keputusan mahkamah syariah sebagai terikat dalam Akta Kewangan.

Antara lain yang dilakukan ialah Inisiatif Akta Wakaf yang tergendala dengan Langkah Sheraton dan libat urus pihak negeri-negeri secara berterusan dalam mengukuhkan hubungan antara kuasa negeri dan persekutuan. Keharmonian syariah dan undang-undang sivil turut diperkukuhkan ketika itu supaya dapat mencapai tuntutan lebih besar dalam perundangan menggunakan elemen Maqasid al Syariah sebagai panduan.

Saya tegaskan sekali lagi di sini bahawa mempertahankan perundangan syariah perlu dibuat secara objektif dan kolektif. Ia bukan soal 'syariah dicabar' untuk dipolitikkan tetapi bagaimana kita bertindak untuk memperkukuhkan peruntukan syariah yang ada supaya tidak ada lagi kelompongan atau lacuna yang menjadi asas pihak tertentu mengambil kesempatan. Marilah kita mempertahankan perundangan syariah bersama.


MUJAHID YUSOF ialah Naib Presiden Amanah dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.