Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

PANDUANKINI | Penjelasan tentang petisyen cabar enakmen syariah Kelantan

PANDUANKINI | Beberapa hari lalu, PN mengumumkan akan menganjurkan siri perhimpunan bagi membantah petisyen yang dibuat sebuah keluarga untuk membatalkan 20 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan mendakwa enakmen sama di kesemua 14 negeri juga akan terbatal jika Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan itu, yang difailkan peguam Nik Elin Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman.

Pendengaran permohonan itu dijadual disambung di Mahkamah Persekutuan pada 20 November ini.

Persoalannya: Adakah cabaran undang-undang terhadap kesahan perlembagaan bagi satu undang-undang agama yang khusus di sebuah negeri akan memberi kesan kepada undang-undang syariah di negeri lain?

Panduankini meneliti persoalan ini.

Apakah inti pati cabaran yang difailkan?

Nik Elin dan Tengku Yasmin berhujah yang DUN Kelantan melangkaui bidang kuasa dengan mewartakan 20 peruntukan - di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 - bagi melarang orang Islam di negeri itu terlibat dalam perkara-perkara di bawah peruntukan tersebut.

Mereka mendakwa Senarai II (atau Senarai Negeri) dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan melarang negeri daripada menjadikan perkara-perkara tersebut sebagai kesalahan jenayah syariah.

Apakah perkara yang disentuh dalam 20 peruntukan itu?

20 peruntukan itu meliputi pelbagai perkara, antaranya dakwaan palsu (Seksyen 5), memusnahkan tempat ibadat (Seksyen 11), menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya (Seksyen 13), liwat (Seksyen 14), seks dengan mayat (Seksyen 16), seks dengan bukan manusia (Seksyen 17) dan gangguan seksual (Seksyen 31).

Selain itu, ia turut menyentuh memiliki dokumen palsu dan memberi keterangan, maklumat atau pernyataan palsu (Seksyen 34), apa-apa yang mengkhayalkan (Seksyen 36), judi (Seksyen 37), mengurangkan ukuran, sukatan dan timbangan (Seksyen 39), melakukan transaksi muamalat yang berlawanan dengan hukum syarak (Seksyen 40) dan penyalahgunaan penandaan halal (Seksyen 42).

Ia juga menyentuh hal menawar dan memberikan perkhidmatan maksiat (Seksyen 43), persediaan untuk menawar dan memberikan perkhidmatan maksiat (Seksyen 44), persediaan untuk melakukan maksiat (Seksyen 45), sumbang mahram (Seksyen 47) dan muncikari atau menjadi orang tengah antara dua pihak untuk kesalahan tertentu (Seksyen 48).

Adakah perkara-perkara ini tidak tersenarai dalam Senarai II Jadual Kesembilan dalam Perlembagaan Persekutuan?

Semakan sepintas lalu dalam Senarai II menyatakan antara undang-undang agama Islam yang boleh dirangka adalah berkenaan kesalahan yang dibuat warga beragama Islam yang bertentangan dengan hukum Syarak, kecuali dalam perkara yang dimasukkan dalam Senarai Persekutuan.

Perlu dinyatakan soal syariah dalam Senarai Negeri adalah berkenaan hal-hal peribadi, seperti pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, mas kahwin, nafkah, pengangkatan, penjagaan, alang, pecah milik dan amanah bukan khairat; Wakaf dan takrif serta pengawalseliaan amanah khairat dan agama, pelantikan pemegang amanah dan pemerbadanan orang berkenaan dengan derma kekal agama dan khairat, institusi, amanah, khairat dan institusi khairat Islam yang beroperasi keseluruhannya di dalam negeri; adat Melayu; dan zakat.

Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan hanya negeri yang patut mengendalikan Mahkamah Syariah masing-masing untuk mendengar kes yang termasuk dalam Senarai Negeri.

Jadi apa sebenarnya yang termasuk dalam Senarai Persekutuan yang hanya memberi kuasa kepada Parlimen untuk merangka undang-undang berkenaannya?

Senarai Persekutuan (atau Senarai I Jadual Kesembilan dalam Perlembagaan Persekutuan) menunjukkan ia memberi kuasa kepada Parlimen dalam pelbagai perkara melangkaui kuasa negeri.

Ia termasuklah dalam soal keselamatan dalam negeri seperti siasatan jenayah, polis, ketenteraman awam dan amalan rasuah.

Atas dasar ini, kesalahan dalam Kanun Keseksaan seperti rogol, bunuh dan seks di luar tabii.

Apakah kebimbangan yang dibangkitkan sesetengah pihak berkenaan cabaran yang dibuat Nik Elin dan anaknya, sehingga merancang untuk membuat perhimpunan?

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa petisyen itu membawa kesan besar kerana jika ia dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan, ia boleh menyebabkan sebahagian besar bidang kuasa Mahkamah Syariah terhapus.

"Isu perundangan Islam ini datang bersama isu akidah, kita tidak boleh berkompromi, ia merupakan suatu ketetapan Allah, persoalan akidah turut melibatkan syariat dan sistem dalam perundangan Islam," tegasnya.

Katanya lagi, ia juga melibatkan bidang kuasa Raja-Raja Melayu dan memetik titah Sultan Selangor yang menitahkan kebimbangan mengenai situasi semasa tekanan ke atas sistem perundangan syariah dalam negara.

Adakah petisyen yang difailkan bersifat keagamaan?

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Man yang mempengerusikan panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan untuk mendengar permohonan ini telah menolak tanggapan itu.

Pada 17 Ogos lalu, Tengku Maimun menekankan bahawa ia tidak berkaitan dengan doktrin Islam tetapi melibatkan tafsiran perkataan-perkataan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dia juga berkata tidak timbul soal pihak yang membuat petisyen itu untuk menjejaskan kedudukan Islam di Malaysia.

Apa pandangan kerajaan Kelantan?

Menerusi pasukan peguamnya, kerajaan Kelantan berkata 20 peruntukan itu adalah sah kerana DUN Kelantan ada kuasa untuk mewartakan undang-undang berkenaan perkara yang menyalahi agama Islam.

Peguam Kamaruzaman Muhammad Arif berhujah bahawa Suruhanjaya Reid - badan yang merangka Perlembagaan Persekutuan - telah mengeluarkan laporan bertujuan meletakkan perkara dalam agama Islam dan adat Melayu di bawah kuasa negeri.

Dia juga berkata kuasa DUN untuk merangka undang-undang syariah juga diiktiraf di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Menurut Takiyuddin, enakmen syariah di 14 negeri akan terbatal jika petisyen dibenarkan. Adakah kebimbangan itu ada asas?

Secara teknikal, petisyen itu hanya menyasarkan 20 peruntukan jenayah syariah di Kelantan.

Jika Mahkamah Persekutuan membenarkan petisyen itu, kesan segeranya adalah pengisytiharan bahawa 20 peruntukan itu tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Namun, perlu dinyatakan bahawa keputusan itu boleh dijadikan sebagai duluan bagi mana-mana pihak di negeri lain untuk membuat permohonan yang sama.

Adakah cabaran sama terhadap enakmen syariah negeri pernah dibuat sebelum ini?

Pada 2021, seorang individu yang didakwa di Mahkamah Syariah atas tuduhan 'melakukan hubungan seks di luar tabii' berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan enakmen Selangor yang menjadikan 'seks di luar tabii' sebagai jenayah buat orang Islam.

Panel sembilan hakim, yang juga dipengerusikan Tengku Maimun, membenarkan permohonan itu atas dasar kesalahan itu di bawah bidang kuasa persekutuan.

Pengisytiharan Mahkamah Persekutuan itu membatalkan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.