'Mana pergi Beras Makmur?'
Kerajaan Pahang sepatutnya mengedarkan Beras Makmur di seluruh negeri ini bagi mengatasi masalah kekurangan beras tempatan yang masih berlaku.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu mendakwa dia sudah tidak melihat lagi kelibat Beras Makmur selepas pilihan raya kecil (PRK) Pelangai, awal bulan lalu.
"Saya tertanya-tanya juga, di mana Beras Makmur yang disubsidi kerajaan negeri Pahang seperti yang dilihat di Pelangai sebelum ini?
"Di mana nak beli?
“Di pasar raya Darul Makmur milik MUIP (Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang) pun tak ada," katanya melalui satu hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Jenama Beras Makmur itu dilancarkan kerajaan Pahang pada 5 Oktober lalu, dua hari sebelum pengundian PRK Pelangai.
Pelancaran Beras Makmur itu dilakukan Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail di Dataran Simpang Pelangai, dekat Bentong.
Ketika berucap pada majlis pelancaran itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang memberikan subsidi RM11 untuk 5,000 kampit 10 kilogram Beras Makmur.
Andansura ketika dihubungi Malaysiakini di Kuantan, Pahang, hari ini mengakui tidak lagi ternampak penjualan Beras Makmur selepas PRK Pelangai di mana-mana lokasi.
"Saya tidak pasti kalau ada Beras Makmur dijual ketika program Jualan Rahmah, tapi setakat maklumat yang saya peroleh, tidak ada (Beras Makmur).
"Memang kali terakhir saya nampak Beras Makmur ini di Pelangai, selepas itu tak nampak dah," katanya.
Dia yang juga ahli dewan undangan negeri (ADUN) Beserah memaklumkan enam pasar raya di Balok dan Beserah - kawasan diwakilinya juga tidak mempunyai stok beras tempatan.
Katanya, masalah kekurangan bekalan beras tempatan sudah berlarutan sejak beberapa bulan lalu dan belum lagi menunjukkan akan selesai dalam masa terdekat.
"Sebelum ini ada orang cakap beras tempatan boleh memenuhi 60 peratus keperluan pasaran, tapi kalau pergi ke pasar raya, bekalan masih kurang atau tidak ada langsung.
"Apa yang kita boleh lihat sekarang hanyalah siri Jualan Rahmah di sesetengah tempat," katanya lagi.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan kerajaan negeri berkaitan isu ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai