Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Kutipan dana Ramasamy bayar saman Zakir Naik lepasi RM1.5 juta

Kempen mengumpul dana bagi membantu bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang P Ramasamy membayar ganti rugi kepada pendakwah bebas Dr Zakir Naik telah melebihi sasaran RM1.5 juta.

Perkara itu disahkan oleh Ramasamy menerusi satu hantaran di laman Facebook.

"Sehingga pukul 11 pagi hari ini sebanyak RM1,523,187.38 telah berjaya dikumpulkan. Saya mengucapkan terima kasih kepada orang ramai membantu.

"Saya yakin dengan masyarakat ini bahawa mereka membantu saya ketika saya berada dalam keadaan terdesak. Saya tidak sesekali melupakan masyarakat ini.

"Saya percaya ini adalah hadiah perayaan Deepavali terbesar bagi saya," katanya.

P Ramasamy

Dana itu dikutip melalui Pertubuhan Masyarakat Tamilar Kural Malaysia.

Pada 2 November lalu, Ramasamy melancarkan kempen pendanaan awam selepas mahkamah mendapati bekas pemimpin DAP itu bersalah memfitnah Zakir.

Ramasamy diperintah oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hayatul Akmal Abdul Aziz untuk membayar ganti rugi berjumlah RM1.52 juta - iaitu RM1 juta bagi ganti rugi am, RM100,000 untuk pampasan, RM100,000 untuk ganti rugi teruk, RM250,000 untuk ganti rugi teladan serta kos RM70,000.

Mahkamah juga memerintahkannya untuk menjelaskan jumlah itu dalam tempoh 30 hari.

Berkenaan kempen tersebut, Ramasamy berkata dana itu dikumpul secara telus dan sebarang lebihan akan digunakan untuk kebaikan orang ramai.

Dia juga berkata akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Rayuan.

Dr Zakir Naik

Pada 2019, Zakir memfailkan dua saman fitnah berbeza terhadap Ramasamy berhubung kenyataan yang dikeluarkan ahli politik itu.

Saman pertama berkaitan ceramah Zakir di Kota Bharu, Kelantan pada 8 Ogos 2019 dan saman kedua berhubung penangkapan berkaitan dakwaan usaha menghidupkan semula gerakan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Sementara itu, Ramasamy berkata bahawa akan terus bersuara menjaga hak masyarakat etnik India di negara ini.

"Saya berjanji tidak akan tunduk dan akan terus bersuara memperjuangkan masyarakat India di negara ini," katanya.