Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Syed Saddiq: Pemimpin perlu jadi 'lebih putih daripada putih'

Memberi bayangan berkenaan masa depan politiknya, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pemimpin yang baik di Malaysia mestilah "lebih putih daripada putih (whiter than white)".

Dia berkata demikian ketika sidang media selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyabitkannya atas empat pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Pemuda Bersatu (Armada) berjumlah RM1.12 juta.

"Untuk mengubah Malaysia, bukan tentang satu individu tetapi tentang membina institusi yang melangkaui parti dan personaliti, supaya (negara) di landasan betul tidak kira siapa mentadbir.

"Untuk menjadi pemimpin yang membangunkan Malaysia, dia mesti lebih putih daripada putih. Untuk menjadi pemimpin yang baik untuk merealisasikan impian Malaysia, (dia) perlu lebih putih daripada putih," kata Syed Saddiq.

"Itu akan menjadi faktor paling utama untuk saya membuat keputusan, yang akan saya bawa kepada kepimpinan Muda selepas perbincangan dan perundingan," katanya lagi.

Syed Saddiq berkata dia akan mengumumkan perihal masa depan politiknya dalam sidang media pada jam kira-kira lima petang ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan dan denda RM10 juta terhadapnya.

Hakim Azhar Abdul Hamid bagaimanapun membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan hukuman sementara rayuan dibuat di Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun apabila wartawan meminta dia memberi jawapan yang lebih jelas, Syed Saddiq berkata mereka boleh hadir ke sidang media nanti.

"Letak jawatan? Secara peribadi saya sudah buat keputusan sebelum keputusan mahkamah. Ini soal prinsip," katanya sambil menambah dia perlu membuktikan kata-katanya menerusi perbuatan.

Mengakui dia akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan, Syed Saddiq berkata dia tetap menghormati keputusan mahkamah hari ini.

"Sebagai pembuat dasar, saya perlu letakkan kepercayaan pada institusi kehakiman...Tiada beza antara saya dan orang lain.

"Saya sudah pun bincang dengan peguam dan kami ada kes yang baik untuk fail secepat mungkin di Mahkamah Rayuan, supaya kehakiman menjadi penentu terakhir terhadap nasib saya dan medan terbaik untuk bersihkan nama saya.

"Dalam bab ini, saya pegang kepada kata-kata 'berani kerana benar'," katanya lagi.

Peguamnya Gobind Singh Deo berkata mereka akan memfailkan rayuan hari ini.