Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Kes 1MDB: Najib tetap kata akaun dibuka untuk terima derma Arab Saudi

Najib Razak kekal menyatakan dia membuka akaun di AmIslamic Bank bagi menerima sumbangan daripada keluarga diraja Saudi.

Ketua pasukan pembelaannya, Muhammad Shafee Abdullah berkata Najib membuat arahan itu, dengan akaun dengan nombor berakhir 694 dibuka pada 2011 selepas pertemuan dengan bekas Raja Arab Saudi, Almarhum Abdullah Abdulaziz Al-Saud.

Shafee berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan pegawai penyiasat kes pengubahan wang haram 1MDB, Foo Wei Min.

Foo yang merupakan saksi pendakwaan ke-48 ditanya jika dia mendapatkan penyata akaun individu bernama "Putera Faisal" yang memiliki akaun bank di Riyadh, Arab Saudi.

"Anak guam saya menyatakan dia membuka akaun (694) untuk menerima sumbangan Saudi.

"Akaun ini dibuka untuk menerima sumbangan itu yang disampaikan kepadanya ketika dia bertemu Raja Abdullah (dalam kunjungan terdahulu ke Arab Saudi) dan konsisten dalam perkara ini," katanya ketika prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Apabila Shafee bertanya Foo berhubung jika Najib ada memberitahu perihal sumbangan itu ketika penyiasatan, Foo berkata Najib ada menyatakannya.

Najib turut menggunakan hujah sumbangan itu ketika membela diri dalam kes rasuah SRC International. Namun mahkamah menjatuhkan hukuman bersalah dan dia kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Ketika prosiding di depan hakim Collin Lawrence Sequerah hari ini, Foo dan Shafee bertikam lidah berhubung jika ada kesilapan dalam siasatan pihak berkuasa terhadap Najib.

Shafee mendakwa ada kesilapan dalama analisis jejak awng 1MDB memandangkan Foo hanya melihat penyata akaun Najib dan Tanore Finance Corporation (entiti milik Eric Tan Kim Loong, individu yang didakwa sekutu Jho Low) namun tidak mendapatkan penyata kewangan tiga akaun amanah luar pesisir.

Tiga akaun tersebut adalah milik Cistenique Investment Fund (CIF), Enterprise Emerging Markets Fund (EEMF) dan Devonshire Funds Ltd (EEMF) yang didakwa pihak pendakwaan telah digunakan untuk mengelirukan sumber dana yang diselewengkan daripada 1MDB dan dipindah ke akaun Najib.

Shafee: Saya katakan yang anda tidak menyemak secara terperinci penyata akaun, maka ada kelemahan dalam siasatan anda.

Foo: Saya tak setuju.

Perbicaraan bersambung esok.

[Baca berita asal]