Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

MP Jelutong cadang kerajaan terbit buku Kit Siang, Nik Aziz

PARLIMEN | RSN Rayer (Pakatan Harapan-Jelutong) mencadangkan agar kerajaan menerbitkan buku berkisar tokoh politik veteran bagi menjawab tohmahan terhadap pemimpin berkenaan.

Ini termasuk pemimpin DAP Lim Kit Siang dan Karpal Singh.

Katanya, bahan bacaan seumpamanya dapat menjawab dakwaan pemimpin DAP sebagai komunis, selain tuduhan bahawa Kit Siang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) mendiang Ong Boon Hua atau Chin Peng, mahupun bekas perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew.

"Kit Siang bukanlah seorang komunis dan tiada kena mengena dengan Lee Kuan Yew, tiada tali persaudaraan dengan komunis,” katanya.

"Kita perlu menerbitkan buku-buku melibatkan tokoh politik seperti Nik Aziz, walaupun dia seorang pemimpin PAS, (dia) seorang pemimpin yang terulung," tambahnya.

Untuk rekod, buku mengenai tokoh DAP seperti Kit Siang dan Karpal banyak diterbitkan oleh parti tersebut, sementara beberapa buku berkisar Nik Aziz turut pernah diterbitkan dan berada di pasaran.

Rayer berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa Kementerian Perpaduan Negara di Dewan Rakyat hari ini.

Rayer mengulas kenyataan seorang ahli parlimen yang baru-baru ini mengaitkan anak Kit Siang, yang juga Pengerusi DAP Lim Guan Eng, dengan Chin Peng dan Lee.

Meskipun tidak menyatakan secara spesifik, Rayer dipercayai merujuk kepada Ahli Parlimen PAS Siti Mastura Muhammad, yang membuat kenyataan seumpamanya dalam satu program PAS di Kemaman, Terengganu.

Rayer berkata dia kecewa dan terkilan apabila tuduhan seumpamanya datang daripada seorang wakil rakyat.

“Malulah, bukan budak-budak sekolah, (tapi) ahli parlimen.

"Saya terkilan, saya rasa malu, hampa, sedih dan marah kerana kenyataan itu dibuat oleh seorang ahli parlimen," katanya.

Guan Eng telah memberi tempoh 48 jam kepada Mastura untuk mengemukakan bukti dakwaannya pada sidang media di parlimen pagi tadi.