Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Isu warga M'sia ditahan di luar negara: Wisma Putra akan periksa - Timb menteri

PARLIMEN | Kementerian Luar memaklumkan akan meneliti isu rakyat Malaysia yang ditahan di penjara asing, termasuk banduan menunggu hukuman mati Indonesia dan memastikan representasi undang-undang yang diperlukan disediakan untuk mereka.

Timbalan Menteri Luar Mohamad Al Amin berkata semua mahkamah di seluruh dunia akan meminta seseorang yang didakwa atas kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman mati diwakili peguam semasa dalam perbicaraan.

"Untuk makluman di mana-mana negara di dunia ini bila kes melibatkan hukuman mandatori, mahkamah akan minta diwakili peguam.

"Dalam isu dibangkitkan saya ambil maklum, kita akan periksa," katanya menjawab soalan Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau).

Bakhtiar (gambar, atas) yang mencelah ucapan penggulungan Mohamad, membezakan bantuan oleh kedutaan Indonesia teradap warganya yang ditahan di sini, dengan pengendalian Wisma Putra terhadap rakyat Malaysia yang ditahan di penjara di negara itu.

"Kalau (bantuan guaman) itu belum ada kita akam ambil tindakan untuk menyediakan ataupun mencadangkan mana-mana peguam untuk mewakili (warga negara Malaysia)," kata Mohamad ketika ucapan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa Kementerian Luar.

Dia juga memberi jaminan bahawa pegawai konsular Malaysia di luar negara sentiasa bersedia untuk membantu rakyat Malaysia dalam tahanan, supaya mereka mendapat hak dan keadilan sewajarnya.

"Pegawai konsular juga akan hadir semasa sesi perbicaraan yang melibatkan rakyat Malaysia, sebagai watching brief (peguam pemerhati).

"Selain itu tahanan rakyat Malaysia di luar negara yang tidak berkemampuan juga boleh mendapatkan bantuan guaman di luar negara," katanya lagi.

Terdahulu dalam perbahasannya, Bakhtiar turut meminta statistik daripada Mohamad mengenai jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara, menunjukkan sejumlah besar dikatakan ditahan di penjara Indonesia dan telah dijatuhi hukuman mati.

Katanya, ramai yang dinafikan perbicaraan adil kerana pelbagai masalah, termasuk isu bahasa atau mereka tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, Bakhtiar memberitahu Malaysiakini dia dimaklumkan mengenai semakan kes hukuman mati yang difailkan di mahkamah Jakarta Barat oleh peguam daripada Institut Undang-undang Masyarakat Indonesia, mewakili pihak Tor Eng Tart yang berasal dari Balik Pulau.