Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Saksi dakwa ada kumpulan Islam ancam paderi Koh pada 2011

Seorang saksi memberi keterangan di mahkamah bahawa sebuah kumpulan Islam mengancam paderi Raymand Koh pada 2011, berikutan serbuan Jabatan Agama Islam (Jais) di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Dalam keterangan saksi yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, anggota Harapan Komuniti G Sri Ram berkata ugutan itu berlaku selepas Jais melawat majlis makan malam anjuran NGO berkenaan di gereja itu pada 3 Ogos 2011.

Sri Ram berkata Koh - yang juga sahabatnya sejak 1977 - mengetuai Harapan Komuniti sebelum kehilangannya pada 13 Feb 2017.

NGO itu terlibat dalam kerja sosial dan amal di kalangan masyarakat terpinggir dan kurang bernasib baik.

Saksi itu teringat bahawa kira-kira jam 10 malam pada 3 Ogos 2011, kira-kira 16 hingga 20 orang Jais dan pegawai polis berarak ke majlis makan malam Kesyukuran dan mengumpul dana, mengambil video dan gambar serta mencatatkan butiran kira-kira 20 tetamu Melayu yang hadir.

“Ia digembar-gemburkan secara salah. Kerana publisiti itu, orang ramai mengandaikan banyak perkara, dan dari Ogos hingga Oktober 2011, Raymond Koh, keluarganya, Harapan Komuniti, dan pemimpin gereja DUMC telah disasarkan oleh kumpulan Islam dan radikal berhaluan kanan, ahli politik dan penulis blog, dengan seruan untuk bertindak, menentang mereka atas nama Islam,” dakwa Sri Ram.

Keterangan saksi itu untuk menyokong tuntutan isteri Koh, Susanna Liew di mahkamah yang meminta polis mendedahkan kehilangan lelaki berkenaan.

Sri Ram pernah memberi keterangan dalam inkuiri Suhakam, yang pada 3 April 2019, membuat kesimpulan penculikan Koh merupakan kehilangan secara paksa yang melibatkan Cawangan Khas dari ibu pejabat polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Saksi berusia 63 tahun itu berpendapat berikutan lawatan Jais ke gereja itu, Harapan Komuniti terus menerima ugutan.

Sri Ram berkata ini membawa kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) Jamil Khir Baharom mendedahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang menyiasat NGO itu kerana dituduh cuba menyebarkan agama kepada orang Islam.

Dia mendakwa berikutan titah Sultan Selangor pada 22 Okt 2011, tiada sesiapa yang akan didakwa berhubung insiden 3 Ogos, satu perhimpunan yang dipanggil ‘Himpun’ telah berlangsung dan disebut-sebut sebagai demonstrasi “anti-murtad”.

Saksi itu berkata, kali terakhir dia melihat Koh adalah pada 8 Jan 2017, di Plaza Jelutong, Shah Alam, dan dia mendapat tahu tentang kehilangan Koh melalui mesej yang dihantar dalam kumpulan WhatsApp persekutuan paderi sekitar jam 8 malam pada hari kejadian.

Sri Ram berkata pada malam 14 Feb 2017, dia pergi ke balai polis Kelana Jaya untuk membantu siasatan berhubung kehilangan Koh.

Saksi itu berkata dia berasa pelik soalan pegawai penyiasat Supari Mohammad "berpusing-pusing", memberinya gambaran bahawa pegawai polis itu seolah-olah cuba mendapatkan bukti terhadap Koh daripada menyiasat penculikan tersebut.

Sri Ram memberitahu mahkamah sivil bahawa dia percaya Koh sebenarnya diculik oleh polis. Dia mendakwa paderi itu menunjukkan kepadanya laman web yang secara zahir mengancam Koh dan keluarganya berikutan insiden DUMC.

Menurut Sri Ram, ugutan itu berterusan walaupun Sultan Selangor menitahkan tiada tindakan lanjut dalam siasatan terhadap Harapan Komuniti.

Sementara itu, semasa prosiding mahkamah di hadapan Hakim Su Tiang Joo, peguam kanan persekutuan Nurul Farhana Khalid menyoal kesahihan keseluruhan keterangan Sri Ram, melabelkannya sebagai "andaian".

Bagaimanapun, walaupun disoal peguam polis dan kerajaan, saksi itu mengulangi kepercayaannya bahawa polis yang menculik Koh.

"Saya nyatakan kepada anda bahawa penculikan itu bukan oleh polis, tetapi ia oleh (orang awam) yang tidak berpuas hati dengan Koh kerana isu Kristianisasi (umat Islam)," kata Nurul Farhana.

Untuk itu, Sri Ram hanya menjawab, "saya tidak bersetuju".

Perbicaraan di hadapan hakim Su bersambung esok.

Peguam Jerald Gomez mewakili Liew.

Lebih seminggu selepas insiden DUMC pada Ogos 2011, rakaman video ringkas lawatan Jais tersebar di internet.

Jais menafikan lawatan tanpa makluman itu adalah serbuan, berkata ia hanyalah "pemeriksaan" selepas menerima maklumat bahawa umat Islam hadir pada majlis 'berbuka puasa' dan kesyukuran DUMC.

[Baca berita asal]