Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Semak fakta: Netizen pro-Israel manipulasi video kelas urus jenazah di M'sia

Klip video kelas pengurusan jenazah di masjid di Malaysia Ogos lalu dimanipulasi oleh pengguna media sosial pro-Israel untuk menimbulkan keraguan terhadap jumlah kematian rakyat Palestin di Gaza.

Klip video itu disiarkan pada akaun satira X (Twitter) 'The Mossad: Satirical, Yet Awesome' hari ini dengan keterangan: "Kami dengan gembira melaporkan keadaannya telah dinaik taraf kepada hidup."

Klip video itu menunjukkan seorang pemuda dalam kain kafan mengerdipkan mata.

Walaupun ia akaun satira, pentadbir 'The Mossad: Satirical' berkata akaun itu kini akan "berkongsi maklumat sebenar dan terkini" untuk menyokong kempen ketenteraan Israel.

Klip video itu kemudiannya telah diulang siar oleh pengguna media sosial pro-Israel untuk menimbulkan keraguan mengenai jumlah kematian yang dilaporkan di Gaza yang menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan telah mencecah lebih 9,700 orang, termasuk lebih 4,700 kanak-kanak sejak 7 Okt.

Klip video yang disiarkan di X menunjukkan bahawa ia diambil dari akaun Instagram Akbardarjaham3, yang semalam menyiarkannya dengan keterangan bahasa Arab dan disertai lagu latar Arab.

Bagaimanapun, semakan mendapati klip video yang sama telah beredar sekurang-kurangnya sejak Ogos.

Kelas di masjid di Pekan

Pada 19 Ogos, pengguna TikTok metjetak17 menyiarkan video yang sama tanpa keterangan bahasa Arab dan dengan lagu ceria.

Komen yang dibuat beberapa hari selepas ia disiarkan menunjukkan bahawa ia telah dirakam di Majid Institut Kemahiran Mara Tan Sri Yahya Ahmad di Pekan, Pahang.

Semakan Malaysiakini mendapati maklumat ini boleh dipercayai kerana jubin dinding dan permaidani dalam video itu sepadan dengan masjid itu yang terletak di Pahang.

Sejak video itu tular dalam kalangan media sosial pro-Israel, netizen Malaysia telah bertindak balas dengan pantas menjelaskan bahawa klip video itu sebenarnya dirakam di Malaysia.

Video di X itu kini juga disertakan dengan "nota komuniti" yang menunjukkan bahawa ia tidak berkaitan dengan konflik di Gaza.

Nota komuniti ialah nota yang dijana pengguna untuk memberikan konteks kepada siaran, langkah yang dilancarkan oleh X untuk memerangi maklumat salah.

Video dari Pahang itu beredar ketika Israel terus menimbulkan keraguan terhadap jumlah kematian rakyat Palestin di Gaza, yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Gaza.

Sementara itu, individu pro-Palestin menuduh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengeluarkan maklumat palsu, mendakwa terdapat terowong Hamas di Hospital Sheikh Hamad yang dibiayai Qatar di Gaza.

IDF menunjukkan imej udara yang didakwa terowong Hamas di tengah-tengah peningkatan tekanan antarabangsa terhadap pengeboman Israel terhadap orang awam dan bangunan awam.

Bagaimanapun, Muhammad Shaheda, ketua pegawai komunikasi Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean yang berpangkalan di Geneva berkata ia adalah ruang menuju bilik simpanan bahan api bawah tanah, yang telah wujud sejak hospital itu dibuka pada 2017.

Semakan Malaysiakini mendapati gambar publisiti daripada Dana Pembangunan Qatar, yang ditangkap di hospital itu pada 2020, memang menunjukkan terowong yang dikatakan, tetapi sama ada ia menghala ke ruang penyimpanan bahan api atau terowong Hamas tidak boleh disahkan secara bebas.