Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

'Ponteng' sidang: Malukan MP tak mengangkat martabat parlimen

PARLIMEN | Seorang pemimpin pembangkang menyarankan agar Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, melihat isu ketidakhadiran ahli parlimen secara teliti dan tidak terburu-buru mendedahkan mereka kepada umum

Kata Ronald Kiandee (PN-Beluran) sebelum mengambil tindakan tersebut, Johari perlulah mengadakan perbincangan terlebih dulu dan bukannya membuat keputusan sendiri.

Dalam peraturan mesyuarat Dewan Rakyat, katanya, apa yang disebut ialah mengenai jumlah kehadiran yang mencukupi (korum) namun ia tidak dinyatakan secara tegar (rigid).

"Saya tak tahu bagaimana speaker (Johari) melihat (soal) kehadiran ini, adakah anda mahu kehadiran penuh 222 orang setiap kali dewan bersidang?

"Sebab itu kita ada peraturan ini... sebenarnya isu kehadiran ini (ada) dari dulu, sejak saya masuk parlimen 23 tahun dahulu, tetapi isunya tidak diperbesarkan.

"Tiada menteri yang boleh hadir mesyuarat (sidang) parlimen setiap masa," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa hari ini.

Kelmarin Johari Abdul mencadangkan nama ahli-ahli parlimen yang sengaja ponteng sidang mungkin akan dipaparkan di laman web parlimen bagi bagi memaklumkan orang ramai mengenai kesungguhan wakil rakyat masing-masing menjalankan tugas hakiki mereka.

Teliti kenyataan betul-betul

Ronald yang pernah menjadi timbalan speaker Dewan Rakyat kemudian memberikan contoh mengenai kegagalan menteri untuk hadir ketika sesi penggulungan minggu lalu.

Katanya dia bersetuju bahawa menjadi tanggungjawab setiap ahli parlimen untuk hadir ke sidang dewan namun ada ketikanya mereka terkekang oleh tugasan lain di luar.

"Kadang-kadang, ada ahli parlimen duduk seminit saja dan keluar kemudian pulang. (Adakah) juga dikira sebagai hadir dalam dewan. Bagaimana anda mengiranya?

"Duduk seminit dan pulang sebab tidak terlibat dalam perbahasan juga dikira hadir? Sebab itu kita perlu tentukan isu ini," katanya lagi.

Ronald yang juga pengerusi Bersatu Sabah berkata, kenyataan dibuat Johari seolah-olah menggambar semua ahli-ahli parlimen kerap ponteng serta gagal menjalankan amanah masing-masing.

Johari Abdul

"Saya setuju ahli parlimen kena hadir tetapi menghukum dan memalukan mereka bukan tindakan yang baik untuk mengangkat martabat ahli parlimen," katanya lagi.

Johari kemudian menjelaskan dia tidak berniat untuk memalukan sesiapa dan meminta Ronald membaca kenyataan yang dibuatnya sebelum ini.

"Tidak semestinya semua ahli parlimen harus ada di sini kerana mereka ada tugas lain, namun begitu apapun cadangan akan dibawa ke jawatankuasa mesyuarat," katanya.

Sim Tze Tzin

Sementara itu, Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengalu-alukan cadangan untuk memaparkan nama-nama ahli parlimen yang tidak hadir ke sidang Dewan Rakyat tanpa sebarang alasan.

"Ini satu usaha reformasi ketelusan yang patut dialu-alukan.

"Rakyat di luar, mereka berfikir ahli-ahli parlimen dibayar dengan elaun begitu tinggi tetapi ponteng sidang parlimen," katanya.

Kata Sim seseorang ahli parlimen yang terang-terangan ponteng memang wajar didedahkan kepada umum untuk dinilai oleh rakyat.

"Semasa pilihan raya, berkobar-kobar nak tukar kerajaan dan sebagainya tetapi apabila dapat mandat jadi ahli yang berhormat, tidak datang.

"Di sosial media hentam kerajaan, kata kerajaan tidak betul dan sebagainya, tapi tidak masuk ke dewan untuk bangkitkan," ujarnya.