Pindaan hukuman mati: Apa tindakan susulan k'jaan, soal Gobind
PARLIMEN | Gobind Singh Deo (PH-Damansara) menggesa kerajaan mendedahkan tindakan susulan sejak kerajaan meluluskan pindaan memansuhkan hukuman mati mandatori bagi 12 kesalahan awal tahun ini.
Pemimpin DAP itu menyoal Menteri Undang-undang dan Pembahuruan Institusi Azalina Othman Said mengenai jumlah pesalah yang telah dijatuhi hukuman mati telah memohon supaya hukuman mereka dikaji semula.
“Saya ingin bertanya kepada menteri apakah perkembangan (kes-kes ini) memandangkan hukuman mandatori telah dimansuhkan?
“Selepas kita memansuhkan hukuman mandatori, satu prosedur diwujudkan supaya mereka yang masih menunggu hukuman dibenarkan mengemukakan permohonan semakan kepada mahkamah untuk mengesahkan sama ada hukuman mati masih dikekalkan atau diubah suai.
“Saya ingin tahu berapa kos dalam perkara ini, berapa banyak permohonan yang telah disiapkan setakat ini dan apakah proses dan juga tempoh masa permohonan itu diproses,” kata Gobind di Dewan Rakyat hari ini.
Gobind juga bertanyakan menteri undang-undang mengenai peruntukan dana bagi menangani masalah tertunggak dalam pengurusan kes, khususnya kes jenayah yang melibatkan reman.
Pada 16 Jun 2023, kerajaan Malaysia menerbitkan dalam warta rasmi dua undang-undang pemansuhan hukuman mati mandatori dan mewujudkan proses hukuman semula bagi mereka yang telah dijatuhi hukuman mati dan penjara seumur hidup.
Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 menghapuskan hukuman mati mandatori bagi 12 kesalahan, termasuk pengedaran dadah, pembunuhan, penderhakaan dan keganasan.
Akta yang berkuatkuasa mulai 4 Julai lalu itu juga menghapuskan hukuman mati sepenuhnya sebagai pilihan untuk tujuh kesalahan, termasuk cubaan membunuh dan menculik.
Akta itu serta Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 3 April dan Dewan Negara pada 11 April serta mula berkuatkuasa mulai 12 Sept lalu.
Mereka yang dijatuhi hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan hukuman mereka telah disahkan oleh Mahkamah Persekutuan, boleh memohon hukuman semula.
Selain pindaan ini, moratorium terhadap hukuman mati telah pun dilaksanakan Malaysia sejak 2017.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai