Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Pindaan isu kewarganegaraan: Keputusan muktamad pada Majlis Raja-Raja

Putrajaya perlu mengambil kira pandangan Majlis Raja-Raja mengenai rang undang-undang berhubung pindaan isu kewarganegaraan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, Anwar berkata pentadbirannya akan menjelaskan perkara itu kepada ahli parlimen, yang sebahagiannya telah menyatakan tidak bersetuju dengan rang undang-undang itu.

“Kita akan maklumkan kepada mereka kerana ini telah dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja. Ada had apa yang boleh kita lakukan selepas perbincangan (dengan raja-raja).

"Sebarang pindaan perlembagaan yang menyentuh isu kewarganegaraan perlu diselesaikan dengan Majlis Raja-raja. (Raja-raja) telah mengambil pendirian tertentu dan kita perlu menghormatinya.

"Saya rasa kita perlu menjelaskan kepada backbencher," katanya kepada media di Putrajaya.

Dalam kenyataan di laman media sosial X pada Sabtu lalu, Ahli Parlimen Ipoh Timor Howard Lee memberi gambaran bahawa beberapa ahli parlimen kerajaan tidak menyokong pindaan itu.

Rang undang-undang itu belum dibentangkan tetapi kumpulan berkepentingan yang menghadiri sesi libat urus kerajaan mengenai rang undang-undang itu telah melobi ahli parlimen untuk menangani kelemahan dalam rang undang-undang itu.

Menurut Perikatan Hak Kewarganegaraan Malaysia (MCRA), rang undang-undang itu akan mempunyai tujuh pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan yang mana dua daripadanya bertujuan memberi hak sama rata kepada ibu warga Malaysia untuk memberikan kewarganegaraan automatik kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara.

Bagaimanapun, lima pindaan lain dikritik kerana ia disifatkan akan menyukarkan lagi golongan tertentu - termasuk anak terbuang dan anak penduduk tetap - dalam menghadapi masalah kewarganegaraan.


LAPORAN BERKAITAN: PANDUAN KINI | Pindaan perlembagaan akan burukkan lagi isu tiada kerakyatan?


Bagi meluluskan pindaan itu, Anwar memerlukan sekurang-kurangnya 148 ahli parlimen untuk mengundi menyokong kerana rang undang-undang pindaan perlembagaan mesti diluluskan oleh sekurang-kurangnya dua pertiga Dewan Rakyat.

Beberapa ahli parlimen telah mencadangkan agar pindaan dipecahkan kepada rang undang-undang yang berasingan bagi membolehkan Dewan Rakyat meluluskan beberapa pindaan yang dijangka akan mendapat sokongan dua per tiga.

Kegagalan untuk meluluskan rang undang-undang itu akan menjadi satu halangan kepada pentadbiran Anwar kerana Pakatan Harapan dan BN telah berjanji pada pilihan raya 2022 untuk meminda undang-undang bagi membolehkan ibu warga Malaysia yang bersalin di luar negara mendapatkan kerakyatan untuk anak-anak mereka, sama seperti dengan hak bapa untuk berbuat demikian.