Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Mahkamah benarkan permohonan pinda tiga pertuduhan Najib

BICARA 1MDB l Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda tiga pertuduhan membabitkan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dalam perbicaraan kes 1MDB yang membabitkan Najib Razak.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan pendakwa raya untuk mengurangkan jumlah salah satu daripada empat pertuduhan salah guna kuasa daripada RM49,930,985.70 kepada RM44,570,920.70.

Pindaan itu juga bertujuan mengurangkan jumlah dalam dua daripada 21 pertuduhan pengubahan wang haram - RM652,600,000 kepada RM515,666,277.51 bagi satu pertuduhan pengubahan wang haram, dan RM12,436,711.87 kepada RM11,411,646.34 bagi satu lagi pertuduhan pengubahan wang haram yang lain.

"Hanya jumlah sahaja yang dimohon untuk dipinda. Oleh itu naratif pendakwaan kekal tidak berubah dan tidak akan ada prejudis terhadap tertuduh.

"Ini bukan niat jahat atau mala fide (di pihak pendakwaan)," kata Sequerah, sementara Najib memanadang dari kandang tertuduh.

Berikutan keputusan itu, mahkamah mengarahkan ketiga-tiga tuduhan yang dipinda dibacakan terhadap Najib.

Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda tiga pertuduhan membabitkan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

Dalam keputusan ringkasnya, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata naratif pendakwaan berhubung kesnya tidak berubah kerana hanya angka dan jumlah yang akan dipinda oleh pihak pendakwaan.

“Tiada niat jahat atau mala fide dalam permohonan ini (untuk meminda pertuduhan) seperti yang didakwa oleh pihak pembelaan dan pertuduhan yang dipinda tanpa prejudis terhadap tertuduh.

“Pindaan itu akan dibuat menurut keterangan saksi pendakwaan, penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM) Adam Ariff Mohd Roslan (PW47) dan Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram ACP Foo Wei Min (PW48). Pihak pendakwaan dalam haknya untuk meminda pertuduhan sebelum menutup kesnya,” kata beliau.

Hakim berkata kedua-dua saksi itu mempunyai pengetahuan khusus mengenai jejak wang dan terutama berkaitan sama ada pergaliran wang dan jumlah yang diterima dalam akaun bank tertuduh adalah ratifikasi sepenuhnya atau sebahagian atau hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Dalam keterangan kedua-dua saksi ini, didapati sejumlah wang adalah daripada sumber yang tidak diketahui dan oleh itu tidak boleh ditetapkan dengan pasti sebagai hasil yang menyalahi undang-undang dengan merujuk kepada pertuduhan predikat keempat,” kata hakim.

Susulan keputusan itu, mahkamah memerintahkan ketiga-tiga pertuduhan yang dipinda dibacakan kepada Najib dan bekas perdana menteri itu mengulangi pengakuan tidak bersalahnya terhadap semua pertuduhan itu.

Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memasukkan beberapa dokumen bank yang dikaitkan dengan keterangan Foo sebagai bukti dalam kes itu.

Pada 24 Okt, pasukan pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa mereka mahu meminda satu daripada empat pertuduhan salah guna kuasa Najib dan dua daripada 21 pertuduhan pengubahan wang haram, berikutan keterangan dua saksi (Adam Ariff dan Foo) baru-baru ini.

Bagi pertuduhan salah guna kuasa, pihak pendakwaan mahu meminda jumlah daripada RM49.9 juta kepada RM44.6 juta, manakala bagi pertuduhan pengubahan wang haram, pihak pendakwaan mahu meminda pertuduhan ke-10 yang Najib didakwa melakukan kesalahan dengan memindahkan wang aktiviti haram, dengan mengurangkan jumlah yang terlibat daripada RM652.6 juta kepada RM515.7 juta.

Selain itu, pihak pendakwaan juga mahu meminda pertuduhan ke-21 melibatkan pemindahan dana dengan mengurangkan jumlah RM12.4 juta kepada RM11.4 juta.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah meminta perbicaraan hari ini dilapangkan kerana beliau dimaklumkan anak guamnya masih tidak sihat selepas dijangkiti Covid-19 minggu lepas.

“Pagi ini anak guam saya memaklumkan bahawa beliau masih tidak sihat 100 peratus dan memerlukan hari ini, dengan pertimbangan Yang Arif, untuk berehat dan memulakan perbicaraan pagi esok,” katanya.

“Dua daripada peguam dalam pasukan saya juga dijangkiti Covid-19 dan untuk berlaku adil kepada mahkamah, kami semua akan melakukan ujian pada sebelah malam untuk memastikan tiada seorang pun daripada kami didapati positif," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar tidak membantahnya.

Perbicaraan disambung semula pagi esok.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.