Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Ahmad Said tak bertanding dalam PRK Kemaman

Bekas menteri besar Terengganu Ahmad Said memaklumkan dia tidak bertanding dalam PRK Kemaman Disember ini.

Menurut Sinar Harian, Ahmad yang menjadi calon BN di kawasan Parlimen itu pada PRU15 berkata dia sendiri yang mencadangkan agar namanya tidak dimasukkan dalam senarai calon.

"Saya nak maklum bahawa Datuk Seri Ahmad Said telah mencadangkan untuk tidak bertanding di Parlimen Kemaman (PRK Kemaman).

"Maknanya bukan saya jadi calon dan calon (yang akan bertanding) ialah antara nama-nama hebat dan terkemuka (dalam Umno)," katanya seperti dipetik.

Dia berkata demikian ketika Majlis Ramah Mesra Jentera PRK Parlimen Kemaman peringkat DUN Chukai, semalam.

Ahmad berkata lagi, dia telah berbincang mengenai perkara itu dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Insya-Allah pada 13 November nanti presiden parti akan umum calon akan bertanding di Kemaman.

"Saya dah bincang bersamanya (Ahmad Zahid) serta telah maklumkan nama calon yang akan bertanding," katanya lagi.

Pada PRU lalu, Ahmad tewas di tangan calon PN Che Alias Hamid dengan perbezaan 27,179 undi.

PRK Kemaman diadakan setelah PN memutuskan untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu yang membatalkan kemenangan Che Alias.