Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Aduan pembakaran terbuka di Kelantan naik hampir 80 peratus - JAS

Aduan berkaitan pembakaran terbuka di Kelantan mencatatkan peningkatan hampir 80 peratus iaitu 105 kes sejak Januari hingga Oktober lepas berbanding 75 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan Wan Aminordin Wan Kamaruddin berkata jajahan Kota Bharu mencatatkan aduan tertinggi iaitu 55 kes diikuti Bachok (14 kes) dan Pasir Mas (13 kes).

"Pada tahun ini, dari Januari hingga Oktober sebanyak 188 aduan kita (JAS) terima berkaitan alam sekitar iaitu 137 kes berkaitan udara dan selebihnya melibatkan air, kumbahan dan sebagainya.

"Kebanyakan aduan mengenai pembakaran terbuka ini diterima daripada kawasan yang mudah terbakar dan berdekatan dengan penempatan penduduk seperti tapak pelupusan sampah dan tanah gambut," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Orang Dasar Sabak Peka Pembakaran Terbuka di Pantai Dasar Sabak di Kota Bharu hari ini.

Wan Aminordin berkata pihaknya sentiasa melakukan rondaan untuk mengenal pasti kawasan yang terlibat dengan pembakaran terbuka selain memberi nasihat kepada individu atau kumpulan yang melakukan aktiviti terbabit dan sekiranya masih ingkar, tindakan selanjutnya akan dikenakan kepada pelaku.

Beliau berkata pihak yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan tindakan mahkamah di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

"Saya harap masyarakat bekerjasama dengan JAS dengan melaporkan kepada kami mengenai sebarang pembakaran terbuka yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab supaya dibawa ke muka pengadilan," katanya.

- Bernama