Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Persempadan semula pilihan raya di S'wak tak lama lagi

PARLIMEN | Persempadanan semula bahagian pilihan raya Sarawak akan bermula selepas selang tempoh lapan tahun dari kajian persempadanan sebelum ini pada 2015, maklum Menteri Undang-undang dan Pembaharuan Institusi Azalina Othman Said.

Ini bermakna persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak mungkin bermula tidak lama lagi, sama ada penghujung tahun ini atau pun awal tahun depan.

"Urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian-bahagian pilihan raya sedia ada, hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lat tempoh lapan tahun atau terdapat pindaan undang-undang ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

"Bagi maksud tersebut, lat tempoh lapan tahun bagi kajian semula persempadanan negeri Sarawak akan berakhir pada tahun 2023, negeri Sabah pada tahun 2025 manakala Negeri-Negeri Tanah Melayu pula pada tahun 2026," katanya memberitahu Dewan Rakyat.

Azalina menjawab soalan Hishammuddin Hussein (BN - Sembrong) yang bertanya jika Putrajaya akan menyemak semula sempadan kawasan pilihan raya memandangkan kali terakhir persempadanan dijalankan pada 2016.

Di bawah Perkara 113(2)(ii) Perlembagaan Persekutuan, selang tempoh antara tarikh satu semakan selesai dan tarikh permulaan semakan seterusnya, hendaklah tidak kurang dari lapan tahun.

Pada masa ini, Sarawak mempunyai 82 DUN.

Dewan Undangan Negeri Sarawak meluluskan sempadan kawasan pilihan raya sekarang pada 3 Dis 2015.

Gambar fail, bangunan DUN Sarawak di Kuching.

Tidak pasti sama ada “tarikh siap” yang dinyatakan dalam Perkara 113(2)(ii) merujuk kepada penetapan sempadan melalui DUN atau tarikh warta kerajaan .

NGO pemantau pilihan raya Tindak Malaysia mendakwa Sarawak mengalami pembahagian sempadan yang tidak sekata.

Tindak Malaysia berkata kawasan pilihan raya terbesar di Sarawak ialah Senadin, dengan 68,564 pengundi manakala yang terkecil, Gedong, hanya 10,067.

Ini mewujudkan jurang bandar-pedesaan yang sangat besar dan merupakan pengabaian sepenuhnya terhadap prinsip 'Satu Orang, Satu Undi, Satu Nilai', kata pengarah Tindak Malaysia Danesh Prakash Chacko.

Semalam, Tindak Malaysia melancarkan laman web dengan cadangan bagaimana Suruhanjaya Pilihan Raya boleh melukis peta pilihan raya di kawasan pilihan raya.