Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Minggu Solidariti Palestin: Fadhlina tak perlu berlakon, kata MP PN

Ahli Parlimen PN nampaknya tidak terkesan dengan permohonan penuh emosi Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di Dewan Rakyat hari ini, berkenaan Minggu Solidariti Palestin.

Mereka sebaliknya mengkritik Fadhlina dan berkata dia tidak perlu "berlakon" atas nama Palestin.

Terdahulu, Fadhlina dilihat menahan sebak ketika meminta sekolah diberi ruang untuk melaksanakan minggu itu.

Dia juga menggesa ahli parlimen kerajaan dan juga pembangkang agar tidak mengganggu sekolah dan guru untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

Bercakap dalam sidang media di Parlimen hari ini, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) menyuarakan kekecewaannya terhadap perkara itu.

"Tak perlu tampilkan emosi yang tak perlu di Dewan (Rakyat). Apa yang kita nak tanya (berkenaan) tak boleh takbir dan qunut nazilah di sekolah.

"Pada kami, ia ungkapan yang boleh diungkapkan seorang Muslim pada bila-bila masa. PM juga mengungkapkannya ketika himpunan solidariti di Stadium Axiata Arena sebelum ini," kata Fadhli.

"Fadhlina tak serius bangkitkan isu ini...Dia hanya bangkitkannya pada tiga minit terakhir ucapan (penggulungannya). Dia juga langsung tak sentuh berkenaan 12 wakil rakyat dari partinya sendiri yang gesa Minggu Solidariti Palestin dikaji semula.

"Tolong minta dia lebih serius dan jangan berlakon atas nama Palestin," katanya.

Berkenaan takbir dan qunut nazilah, Fadhlina berkata: "Jangan susah hati kalau sekolah tak ada takbir, tak ada qunut nazilah. Ada sebab mengapa ia berlangsung dalam suasana aktiviti yang dibenarkan dan bersesuaian dengan sekolah tersebut."

Idris Ahmad (PN – Bagan Serai) juga menyuarakan perkara sama dan bertanya jika Fadhlina dan kementeriannya berdepan tekanan sehingga takbir dan qunut nazilah tidak boleh dibacakan ketika minggu tersebut.

Dia berkata jika wujud tekanan seumpama itu, PN sedia untuk menyuarakan sokongan terhadap Fadhlina.

"Kami berharap program solidariti tidak dipolitikkan dan dijadikan isu untuk menyerang mana-mana pihak," katanya lagi.

Sementara itu, Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN – Alor Setar) turut membidas kerajaan kerana menurutnya mengamalkan standard berbeza dalam sokongannya kepada Palestin.

"Perdana menteri cakap sokong Palestin. Tapi di sekolah nak jelaskan sokongan kepada Palestin tak boleh. Ahli parlimen kerajaan ada berbeza pandangan.

"Kalau panglima (perdana menteri) cakap, semua kena ikut. (Seolah-olah) dalam kerajaan ada banyak panglima, siapa sebenarnya perdana menteri?" soalnya.

Dia juga merujuk gesaan 12 wakil rakyat PKR sebelum ini agar Kementerian Pendidikan menilai semula pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin.

[Baca berita asal]