Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Tiada keperluan tambah pengeluaran minyak masak paket - Fuziah 

PARLIMEN | Kerajaan tidak perlu menambah kuota pengeluaran minyak masak bersubsidi jika penyasaran subsidi dilaksanakan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata tumpuan kerajaan kini adalah bagi melaksanakan penyasaran subsidi.

"Seperti yang kita ketahui kuota rasmi yang dikeluarkan kerajaan 10,000 metrik tan sebulan.

"Dan untuk tambah lagi (kuota pengeluaran) 10,000 metrik tan lagi, kita kerajaan hari ini beri tumpuan kepada penyasaran subsidi.

"Sekiranya kita berjaya lakukan penyasaran subsidi melalui tujuh langkah yang saya katakan tadi...kuota 10,000 (tambahan) tidak diperlukan ketika ini,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Fuziah Salleh

Fuziah berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah).

Ahli parlimen Rasah itu mengemukakan cadangan supaya kerajaan mengeluarkan kuota tambahan minyak masak sebanyak 10,000 tan metrik lagi bagi memenuhi keperluan pasaran termasuk peniaga mikro.

Dia juga meminta kerajaan menjelasakan bahawa terdapat maklumat mengenai pengeluaran tambahan 5,000 tan metrik minyak masak bersubsidi tanpa direkod.

Mengulas mengenai pengeluaran 5,000 tan tambahan minyak masak tanpa direkodkan, Fauziah berkata audit kini sedang dijalankan dan jawapan akan diperolehi selepas itu.

"Ketika ini audit dalaman sedang dijalankan...saya tak boleh jawab hari ini,” katanya.