Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Semakan kes: Harapan buat rakyat M'sia tunggu hukum mati di Indonesia

Seorang rakyat Malaysia yang dijatuhkan hukuman mati tujuh tahun lalu di Indonesia atas sabitan dadah mendapat harapan baru apabila mahkamah di Jakarta Barat bersedia untuk mendengar semakan kesnya pada awal bulan ini.

Tor Eng Tart dari Balik Pulau, Pulau Pinang, didapati bersalah pada 29 Sept 2016, memiliki 140,000 pil ekstasi dalam dua beg pakaian dengan niat untuk diedarkan.

Sejak rayuan terakhirnya ditolak pada Februari 2017, lelaki berusia 49 tahun itu sedang menunggu hukuman mati di penjara keselamatan maksimum Nusa Kambangan Bali.

Dia ditangkap, didakwa dan disabitkan bersama isterinya - Ooi Swee Liew - yang meninggal dunia dalam tahanan di penjara wanita di Lampung, Sumatera, pada 5 Ogos 2020. Ooi berusia 46 tahun ketika ditahan.

Institut Undang-undang Komuniti Indonesia menyerahkan semakan kes Tor kepada mahkamah melalui peguam yang ditugaskan untuk kesnya, dan Ooi, selepas rayuan mereka ditolak.

Peguam Nixon Sinaga (gambar, atas) mewakili Tor manakala peguam Yosua Octovian membantu Ooi.

Nixon dan Yosua bercakap kepada Malaysiakini di luar persidangan kebangsaan dua hari mengenai sabitan penghukuman dan mitigasi bagi hukuman mati di Malaysia, anjuran Rangkaian Anti-Hukuman Mati (Adpan), di Petaling Jaya.

Mereka berpendapat beberapa keadaan tidak menyebelahi Tor dan Ooi lantas menyumbang kepada sabitan hukuman mati.

Antara faktor yang mereka sebutkan ialah kekurangan garis panduan hukuman, tiada jurubahasa bahasa Hokkien untuk pasangan itu dan hakim tidak mengambil kira latar belakang serta keadaan mereka yang terlibat, seperti Ooi yang hampir buta huruf.

Faktor tidak memihak

Sepanjang temu bual, para peguam itu merujuk Tor dan Ooi sebagai "pakcik dan makcik."

"Dalam konteks hukuman (mati) ke atas pakcik makcik, kami melihat sebetulnya peranan hakim untuk melihat dan menilai kondisi kerentanan seseorang itu menjadi penting.

"Ertinya tidak semata apakah betul dia membawa narkotik? Atau apakah betul dia menerima sejumlah wang?

Peguam Yosua Octovian.

"Tetapi yang sering terjadi di Indonesia, hakim tidak pernah mahu melihat latar-belakang seseorang (apabila menjatuhkan hukuman)," kata Yosua.

Melalui kerjasama dengan Adpan, Yosua berkata mereka dapat mengakses ahli keluarga pasangan itu di Pulau Pinang, selain mendapatkan pelbagai dokumen yang menyokong hujah mereka berdasarkan latar belakang sosio-ekonomi pasangan itu.

Antara lain, dia berkata Ooi hampir tidak boleh membaca kerana dia hanya mendapat pendidikan rendah di sekolah jenis Cina dan berkahwin dengan lelaki lain ketika masih remaja.

"Bagaimana makcik boleh terlibat (dalam kes ini)? Dia pesakit diabetik, gout, kolesterol...dia sudah penat pengubatan di Malaysia.

"Pakcik ajak makcik ke Indonesia, ada 'dukun'. Makcik kata okay," katanya.

Menurut fakta kes yang direkodkan daripada sebahagian penghakiman bertulis dalam rayuan pasangan itu, Tor diarahkan terbang ke Indonesia bersama Ooi dan membuat pengaturan untuk menerima pil ekstasi, yang kemudiannya akan diserahkan kepada warga Malaysia lain yang sudah berada di Jakarta.

Pasangan itu pertama kali tiba di Jakarta dari Pulau Pinang pada 14 Dis 2015.

Sejumlah RM5,000 dikatakan telah dimasukkan ke dalam akaun Ooi untuk pasangan itu membeli tiket penerbangan dan kos penginapan.

Selepas itu, satu lagi deposit sebanyak RM5,000 dibuat selepas ketibaan mereka. Ini didakwa digunakan untuk membeli dua beg pakaian besar - satu didapati mengandungi 72,000 pil ekstasi dan satu lagi 68,000 pil ekstasi.

Dua minggu kemudian mereka ditahan di bilik hotel mereka bersama dadah dalam dua beg pakaian dengan jumlah berat 51,248kg disimpan.

Seorang lagi rakyat M'sia ditahan

Dokumen mahkamah mengenal pasti seorang lagi rakyat Malaysia yang ditahan berhubung kes itu tetapi Yosua memberitahu Malaysiakini lelaki itu juga telah meninggal dunia di hukuman mati sementara menunggu hukuman mati.

Dinyatakan unit penguatkuasaan dadah dari Jakarta Barat telah bertindak berdasarkan maklumat tanpa nama mengenai dakwaan penglibatan Tor dalam penjualan ekstasi.

"Kami banyak gali posisi kerentanan makcik," kata peguam itu.

Yosua berkata demikian berdasarkan siasatan susulan mereka terhadap kes pasangan itu.

Sebagai contoh, Yosua berkata mereka menemui perintah muflis terhadap Tor, yang menjelaskan mengapa dia tidak mempunyai akaun bank yang aktif dan wang dadah yang dikatakan itu telah dimasukkan ke dalam akaun Maybank Ooi.

Nixon menjelaskan bahawa Ooi didapati bersalah semasa perbicaraannya manakala Tor pula telah mengaku bersalah atas pertuduhannya.

Perjuang hukuman adil

Mengenai semakan kehakiman yang akan datang, Nixon berkata alasan untuk penghujahan mereka termasuk menghujahkan penafian hak tertuduh untuk perbicaraan yang adil.

Nixon berkata ini disebabkan sebahagian daripada dakwaan kegagalan mahkamah untuk menyediakan penterjemah yang mampu bertutur dalam dialek Hokkien yang digunakan oleh pasangan itu.

"Kami juga sejak awal di semua kes punya pendirian sama. Dalam erti kami tidak pernah menjanjikan hasil apa pun pada anak guam kami dari situ kami mau sampaikan bahawa sistem hukum yang saat ini berlaku tidak boleh dibiarkan.

"Dalam pemantauan kami ada orang dijatuhkan (hukuman) mati dengan tidak hadir peguam dan lain-lain.

"Itu kami temui di kes pakcik, kami ingin dorong agar (ketua) hakim, harus melihat ini.

"Tentu tidak akan merubah status dasar. Hukuman mati (di Indonesia) tidak akan dihapus kerana kes ini.

"Tetapi kami mahu (ketua) hakim itu punya sistem penjatuhan hukum yang kalaupun dijatuhkan hukuman mati, harus based on fair process.

"Tidak semata-mata berdasarkan fakta kes (semata-mata seperti) ditemui dengan barang bukti dan lain-lain," kata Nixon.

Di Malaysia, Akta 2023 atau Akta 847 Semakan Hukuman Mati dan Penjara Seumur Hidup (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) berkuat kuasa pada 12 Sept.

Ini lima bulan selepas Dewan Rakyat sebulat suara bersetuju meluluskan rang undang-undang untuk memansuhkan undang-undang hukuman mati mandatori di Malaysia.

[Baca berita asal]