Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Tiong tanya MP: Apa salah saya mabuk sikit? Saya bukan orang Islam

PARLIMEN | Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing berkata tidak wajar pembangkang menggunakan hujah yang semberono untuk menyalahkan dirinya.

Kata Tiong pertimbangan betul atau salah dari perspektif orang Islam adalah berbeza dengan dirinya yang bukan beragama Islam.

"Janganlah guna isu yang bukan-bukan," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 hari ini.

Memetik nama salah seorang ahli parlimen PN, Tiong berkata, dia didakwa mengambil minuman keras sehingga menjadi mabuk.

"Contohnya MP Masjid Tanah (Mas Ermieyati Samsudin) kata saya mabuk, saya minum (arak), saya nak katakan bahawa saya bukan orang Islam, saya minum apa salahnya?

"Saya pergi Pelangai sana (semasa pilihan raya kecil), mereka ajak saya menyertai Festival Tanglung, saya minum, saya bermain dengan budak-budak macam orang 'gila' sikit, apa salahnya?

"Kalau saya orang Islam, saya memang tak boleh buat macam itu, tapi saya bukan Islam, maka saya boleh buat," katanya lagi.

Pada 16 Okt lalu Mas Ermieyati secara sinis menegur Tiong yang dianggapnya tidak sesuai menjalankan tugas sebagai menteri yang menjaga hal ehwal pelancongan, seni dan budaya.

Hal itu kerana, dakwa ahli parlimen Bersatu-PN itu, Tiong seolah-olah mahu memperkenalkan Malaysia denan cara mabuk dan menari di khalayak ramai.

Tiong merupakan ahli politik berbangsa Cina dari Sarawak. Kini mengetuai Parti Demokratik Progresif, dia merupakan ahli parlimen Bintulu dan dilantik mengetuai kementerian pelancongan, seni dan budaya dalam kerajaan perpaduan selepas PRU ke-15 lalu.

Kata Tiong sebagai wakil rakyat seseorang ahli parlimen wajar memberi perhatian kepada tugas mereka iaitu berkhidmat untuk kawasan yang diwakili.

"Tapi jangan komen (hal ehwal) bangsa-bangsa lain, jangan jejaskan keharmonian dan perpaduan negara kita," katanya.

Tiong juga menyarankan semua ahli parlimen agar mengambil tanggungjawab untuk membangunkan industri pelancongan negara, dan bukannya terus menyalahkan kerajaan.

"Kita mestilah bekerja kuat untuk mencari peluang bagaimana nak kembangkan ekonomi negara.

"Marilah kita bersama-sama bekerja, janganlah 'hitam dikatakan hitam, putih pun kita kata hitam' juga," katanya.