Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Status agama si mati: Keluarga, Mais digesa cari jalan alternatif

Mahkamah Rayuan mencadangkan sebuah keluarga beragama Hindu dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) meneroka jalan alternatif untuk menyelesaikan pertikaian undang-undang berhubung seorang lelaki yang telah meninggal dunia beragama Islam atau Hindu, yang telah berlarutan selama tiga tahun.

Panel tiga hakim dipengerusikan hakim S Nantha Balan mencadangkan perkara itu ketika pendengaran rayuan keluarga B Raguram, yang dikebumikan menurut upacara Hindu pada Mac 2020.

Dua bulan selepas kematian guru sekolah menengah itu, Mais mendapat pengisytiharan daripada Mahkamah Syariah Selangor bahawa Raguram beragama Islam dan dia sepatutnya dikebumikan mengikut Islam.

Pihak keluarga kemudian memfailkan semakan kehakiman di mahkamah sivil bagi mengenepikan pengisytiharan itu. Namun pada November 2020, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan itu, atas dasar mahkamah sivil tiada kuasa untuk mendengar perkara itu.

Keluarga kemudian membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan.

Ketika pendengaran rayuan sivil yang dibuat secara dalam talian hari ini, Nantha memberikan cadangan itu setelah membangkitkan ada pertikaian fakta yang serius berkenaan status agama Raguram.

Hakim berkata pertikaian fakta tersebut tidak boleh diteliti sepenuhnya oleh mahkamah sivil tiga tahun lalu ekoran had prosiding semakan kehakiman bagi memutuskan pertikaian di mana kepentingan suatu fakta dinafikan (issues of fact).

Prosiding semakan kehakiman dibuat menerusi afidavit, sementara saman yang dimulakan dengan writ saman melibatkan keterangan saksi yang boleh diperiksa balas ketika perbicaraan penuh.

"Mungkinkah bagi pihak terlibat yang perkara ini ditimbang tara dan melalui mediasi? Adakah mungkin untuk anak guam yang isu sama ada individu ini menganut Islam (atau tidak) diteruskan melalui prosiding sivil, dan namakan keluarga (B Raguram) sebagai pihak (terlibat)?

"(Jadi) tiada isu orang bukan Islam ke mahkamah Syariah, dan biarkan mahkamah sivil putuskan (menerusi tindakan mahkamah).

"Saya lihat perkara ini berulang-ulang dan berterusan sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan. Sementara rayuan masih dalam proses, ada pihak sebenar yang terlibat seperti Mais dan keluarga.

"Mereka ada pertimbangan sendiri dalam perkara ini," kata Nantha kepada peguam Mais, Arham Rahimy Hariri.

Terdahulu, peguam keluarga, K Shanmuga berhujah rayuan itu harus dibenarkan kerana peruntukan dalam enakmen berkenaan kuasa Mahkamah Syariah untuk menentukan status agama individu yang didakwa meninggal dunia sebagai Islam, adalah tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan.

Menurut Shanmuga, Mahkamah Syariah telah melangkaui batas kuasa pada 2020 kerana berbeza dengan pertikaian yang melibatkan orang yang masih hidup, kes ini melibatkan isu agihan harta kepada keluarga bukan Islam selepas kematian Raguram.

Menjawab cadangan Nantha, Arham berkata dia perlu berbincang dengan Mais terlebih dahulu sama ada mereka akan menerima cadangan itu atau tidak.

Selepas berbincang dengan dua lagi panel hakim iaitu Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Choo Kah Sing, Nantha mengarahkan prosiding ditangguhkan bagi membolehkan pihak terlibat menimbang cadangan itu.

Pemohon adalah balu Raguram dan dua anak mereka. Selain Mais, dua lagi responden adalah Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam dan kerajaan Selangor.

Mais masih belum mengebumikan semula Raguram, sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.

Menurut laporan, Raguram lahir sebagai Hindu dan didakwa memeluk Islam pada 8 November 2012 bersaksikan dua individu di sebuah sekolah di Selangor.

Namun, balu dan dua anaknya mempertikai perkara itu. Menurut mereka, Raguram tidak beragama Islam mahupun memiliki sijil memeluk Islam, dan kad pengenalannya menyatakan dia beragama Hindu.

Menurut laporan bertarikh 2 Mac 2015, Raguram dalam perakuan bersumpah berkata dia telah dikhayalkan dan mengucap dua kalimah Syahadah selepas didakwa menerima ugutan daripada dua individu.

Dia didakwa terus mengamalkan agama Hindu sehinggalah kematiannya pada 14 Mac 2020.

[Baca berita asal]