Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

MP Langkawi: Jawab soalan Kok nada seloroh, dari kawan kepada kawan

Ahli Parlimen PN Mohd Suhaimi Abdullah mempertahankan kenyataan 'jemputan' kontroversi kepada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok untuk melawat ke Pulau Langkawi.

Dia menyifatkannya sebagai jawapan provokasi terhadap soalan yang didakwanya sebagai provokasi juga.

"Sepatutnya tiada mana-mana pihak yang perlu sensitif tak tentu arah, malah mereka yang menimbulkan kembali perkara ini, tiada kena mengena ketika perdebatan (di Parlimen) berlaku.

"Sebenarnya dia (Teresa Kok) tanya soalan provokasi dan mahu memerangkap saya, jadi pendekatan terbaik (saya) jawab balik dengan cara provokasi juga," kata Mohd Suhaimi seperti dipetik Berita Harian.

Ahli parlimen Langkawi itu juga menggesa pengkritiknya supaya tidak menggunakan insiden di Dewan Rakyat pada Khamis lalu itu sebagai cara meraih publisiti untuk diri mereka sendiri.

Suhaimi ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 berkata "YB Seputeh datang tak mahu pakai apa pun tak apa.”

Dia membuat kenyataan itu susulan soalan Kok sama ada pengunjung ke pantai di Pulau Langkawi dibenarkan memakai seluar pendek atau tidak.

"Soalan berkaitan seluar pendek itu juga telah dijawab berkali-kali, termasuk jawapan diberikan Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) sendiri kepada soalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya ( Datuk Seri Tiong King Sing)," kata Suhaimi lagi pada laporan media hari ini.

Kok menafikan dia sengaja membuat provokasi dan soalannya berdasarkan desakan Tiong bahawa pelancong bukan Islam ke Langkawi mengadu dilarang memakai seluar pendek dan minum alkohol.

Kenyataan Tiong pada bulan lalu dibuat selepas Sanusi menafikan dakwaan melarang pelancong bukan Islam memakai seluar pendek dan minum arak di Langkawi.

Sementara itu, Suhaimi yang juga pengerusi Bersatu Kedah mendakwa dia berseloroh pada jawapannya terhadap Kok sebagai "cara menjemput seorang sahabat rapat untuk berkunjung ke Langkawi."

"Sebenarnya hubungan saya dengan dia (Teresa Kok) baik, jadi jawapan saya (untuk soalan ditanya) itu adalah dalam nada berseloroh daripada seorang kawan kepada kawan.

"Mungkin pihak yang menimbulkan perkara itu (usul merujuk Ahli Parlimen Langkawi ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen) lebih kepada mahu 'menangguk di air yang keruh' dan mendapat publisiti murahan," katanya merujuk kepada Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman.

Semalam, pemimpin DAP itu telah menghantar usul ke pejabat setiausaha Dewan Rakyat untuk merujuk ahli parlimen Langkawi, ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Kata Young Syefura usul berkenaan susulan kenyataan Mohd Suhaimi yang didakwanya biadab, lucah dan berunsurkan gangguan seksual kepada Teresa Kok pada 26 Okt lalu.

Syefura atau lebih dikenali sebagai Rara juga mendakwa kelakuan Mohd Suhami secara tidak langsung menghina Akta Antigangguan Seksual yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 20 Julai tahun lalu.