Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Senjata mainan di sekolah: 'Bukan program minggu solidariti, tak ikut panduan'

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menjelaskan program melibatkan senjata mainan di sebuah sekolah, seperti yang tersebar di media sosial semalam, tidak termasuk dalam pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin, yang dijadual bermula 29 Oktober hingga 3 November ini.

Fadhlina juga berkata program tersebut sama sekali tidak mengikut panduan yang telah ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).

"Ingin saya tegaskan Minggu Solidariti Palestin bertujuan mendidik murid-murid dengan nilai kemanusian, merangkumi hak asasi manusia, keamanaan, keharmonian dan kedamaian sejagat.

"Justeru KPM tidak berkompromi dengan sebarang aktiviti berbentuk ekstremisme, radikalisme dan keganasan, apatah lagi dengan penggunaan replika senjata, ikon dan simbol yang mengandungi elemen provokasi serta konfrontasi yang tak dibenarkan sama sekali," katanya dalam satu video di laman Facebooknya semalam.

Dia berkata sebaliknya KPM menggalakkan kegiatan seperti sayembara puisi, pertandingan melukis poster bertemakan kedamaian serta munajat dan sembahyang hajat bagi murid beragama Islam di sepanjang minggu tersebut.

Terdahulu, NGO Global Human Rights Federation (GHRF) mengecam gambar kanak-kanak yang memegang senjata mainan, didakwa berkaitan dengan Minggu Solidariti Palestin di sekolah.

Presidennya S Shashi Kumar juga berkongsi beberapa tangkap layar hantaran media sosial yang dibuat seorang guru perempuan, yang didakwanya berkhidmat di sebuah sekolah di Klang, Selangor.

Gambar itu menunjukkan murid sekolah memegang senapang dan mesingan mainan, sambil mengenakan selendang kufia dan ikat kain di kepala yang tertera sokongan untuk Palestin.

Susulan itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta pihak sekolah mengambil langkah-langkah lebih teratur bagi mengawal pelaksanaan program tersebut.

Semalam, KPM dalam kenyataan berkata pihaknya mengambil maklum terhadap kebimbangan yang tercetus akibat gambar-gambar tersebut dan tidak akan berkompromi dengan sebarang unsur ekstremisme dan keganasan dalam program sempena Minggu Solidariti Palestin

“KPM menggalakkan penganjuran aktiviti-aktiviti yang mendukung isu kemanusiaan seperti tayangan video kedamaian, sayembara puisi kemanusiaan, pertandingan lukisan poster tema kedamaian dan kutipan sumbangan kepada rakyat Palestin sepanjang pelaksanaan program ini.

“Semua institusi bawah KPM diminta untuk sentiasa mengikuti panduan penganjuran yang telah ditetapkan. Minggu Solidariti Palestin perlu dijadikan platform untuk mendidik murid tentang nilai-nilai murni, toleransi, kasih sayang dan saling hormat-menghormati,” menurut KPM.