Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Rakyat teruja Sultan Ibrahim dipilih Agong

Rakyat berbilang kaum dan agama menzahirkan rasa teruja untuk bernaung di bawah pemerintahan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Mereka percaya keprihatinan Sultan Ibrahim terhadap rakyat jelata tanpa mengira latar belakang yang disaksikan melalui beberapa aktiviti termasuk jelajah Kembara Mahkota Johor dan turun padang menyantuni rakyat, menjadi bukti kesungguhan baginda dalam mentadbir masyarakat majmuk di Malaysia.

Pemilihan Sultan Ibrahim, bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang akan menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Jan tahun depan, dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara hari ini

Di NEGERI SEMBILAN, pesara kerajaan Mohd Amin Jalil, 60, berkata pemilihan Sultan Ibrahim sudah pasti menjadi kebanggaan rakyat seluruh negara khususnya di Johor kerana baginda dikenali sebagai Sultan yang dekat di hati rakyat.

“Saya doakan baginda dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah diberi kesihatan yang baik untuk memerintah negara dengan bijaksana, semoga baginda diberikan kesejahteraan berpanjangan,” kata anak jati Ledang, Tangkak, Johor yang menetap di negeri ini lebih 22 tahun.

Di SELANGOR, Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Buah, Dengkil, Juli Blat, 54, menyanjung tinggi pelantikan Sultan Ibrahim dan berharap baginda mengekalkan ketegasannya ketika memimpin negara kelak.

"Baginda seorang berjiwa rakyat dan saya berharap Kembara Mahkota Johor yang merupakan cetusan ilham Sultan Ibrahim sebelum ini dapat diteruskan di Semenanjung Malaysia. Saya juga berharap baginda sudi menziarahi kami di kampung-kampung Orang Asli,” katanya.

Pelukis seni bina K Sivananthan, 35, berkata sebagai rakyat dia sangat teruja untuk menyaksikan peristiwa bersejarah melibatkan pelantikan Yang di-Pertuan Agong mengikut sistem penggiliran lima tahun sekali yang unik dan berbeza dengan negara lain.

Di MELAKA, pekerja swasta Izaida Raihanah Idris, 28, dari Taman Cempaka, Peringgit berharap agar pemimpin utama negara itu akan terus menjadi simbol perpaduan masyarakat dan terus memayungi rakyat.

Seorang lagi pekerja swasta Mohamad Fazrul Abdul Majid, 34, dari Bukit Rambai berharap agar Sultan Ibrahim dapat mengadakan siri jelajah di seluruh negara seperti Kembara Kenali Borneo pada September lepas kerana ia dapat mengekalkan hubungan istimewa antara pemimpin tertinggi negara dan rakyat.

Di PULAU PINANG, seorang peniaga Liu Cheng Lam, 54, yang sering mengikuti perkembangan berita mengenai institusi diraja di negara ini yakin Sultan Ibrahim dapat terus menyantuni rakyat seadilnya.

Sultan Johor seorang yang berhati mulia dan sentiasa disenangi rakyat berbilang kaum. Saya tahu baginda juga antara yang sentiasa membantu rakyat di negerinya dan selepas jadi Agong nanti kita harap baginda terus bersama-sama kita semua,” katanya yang mempunyai kedai runcit di Kepala Batas.

Sementara itu, di PERAK, usahawan S. Lakshman, 36, yakin pelantikan Sultan Ibrahim akan meneruskan legasi kepimpinan yang menitikberatkan isu rakyat pelbagai kaum seperti ditonjolkan Al-Sultan Abdullah.

“Segala dilakukan oleh Al-Sultan Abdullah terutama ketika pandemik COVID-19 dan perubahan politik akan saya kenang sampai bila-bila dan saya juga yakin ia akan diteruskan oleh Sultan Ibrahim yang kita ketahui sebagai Sultan yang tegas, komited dan berani namun berjiwa rakyat,” katanya.

Di KEDAH, pekerja swasta Fakhrul Razi Ismail, 39, percaya pemilihan Sultan Johor itu dinanti-nantikan rakyat jelata dari pelbagai kaum, agama dan bangsa kerana sikapnya yang mesra rakyat.

"Sultan Ibrahim seorang yang mesra rakyat, ini dapat dilihat menerusi pelbagai program dan aktiviti dijalankan baginda di Johor. Jadi pastinya pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong seterusnya amat dinantikan seluruh rakyat jelata," katanya.

Di PAHANG, pekerja swasta Lau Yoke Ping, 40, berharap ketegasan Sultan Johor akan dapat memastikan kestabilan negara khususnya dalam isu berkaitan politik dan pentadbiran negara berterusan, untuk kepentingan rakyat.

“Saya juga berharap Sultan Johor tegas dalam isu berkaitan kebajikan dan keharmonian semua lapisan masyarakat supaya isu-isu yang mengganggu seperti 3R (agama, raja dan kaum) tidak lagi berleluasa kerana kepelbagaian kaum adalah keunikan Malaysia," katanya.

Pelantikan Sultan Ibrahim turut disambut gembira oleh rakyat TERENGGANU termasuk seorang pekerja sektor kewangan, Ngo Kea Leng, 46, dari Taman Sri Manir, yang berharap baginda dapat mempertahankan kewibawaan institusi raja di Malaysia.

Ngo berkata Sultan Ibrahim amat peka dengan perkembangan semasa dalam negara dan seringkali memberi teguran sekiranya timbul isu yang menggugat keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini.

Rakyat di KELANTAN turut menzahirkan keyakinan pemilihan Sultan Ibrahim membawa kesejahteraan kepada negara dan dapat mendekati rakyat.

Penjawat awam Alfarizal Wan Chik, 47, dari Lundang berkata rakyat akan memberi sokongan kepada pemimpin yang prihatin serta cakna kepada keperluan mereka.

“Saya berharap Yang di-Pertuan Agong dapat turun padang bertemu rakyat bukan sahaja di bandar tetapi juga di kampung serta penempatan masyarakat Orang Asli,” katanya

Seorang penjawat awam di SABAH, Norliza Yusof, 39, berharap Sultan Ibrahim akan dapat meneruskan legasi pemerintahan sepertimana Al-Sultan Abdullah dan meneruskan Kembara Kenali Borneo yang julung kali diadakan September lepas.

Bagi Roslan Ismail, 42, yang juga pekerja swasta berkata siri jelajah seperti Kembara Kenali Borneo itu dapat mendekatkan lagi rakyat dengan institusi diraja di negara ini, sekali gus mampu memperkenalkan keindahan budaya, adat resam dan keunikan pelbagai suku kaum di Sabah.

- Bernama