Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Murid pegang senjata mainan: Sekolah kena kawal acara - PM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta pihak sekolah mengambil langkah-langkah lebih teratur supaya kawal acara Minggu Solidariti Palestin di sekolah.

Ia selepas, tular gambar-gambar kanak-kanak yang memegang senjata mainan, yang didakwa berkaitan dengan acara tersebut.

"Berhubung Minggu Solidariti Palestin, tadi kita dah bincang di kabinet. Pertama kita galakkan Minggu Solidariti Palestin.

"Kami tak paksa mana-mana sekolah. Tapi, ia kena kawal supaya tidak menjadi masalah.

"(Bawa senjata mainan ke sekolah) itu kena kawal," katanya kepada pemberita di Kedai Makan Ramli Corner Selera Kampong, di Dengkil, hari ini.

Terdahulu, NGO Global Human Rights Federation (GHRF) mengecam gambar kanak-kanak yang memegang senjata mainan, didakwa berkaitan dengan Minggu Solidariti Palestin di sekolah.

Menyifatkannya sebagai "mengejutkan dan menakutkan", presidennya S Shashi Kumar menggesa kerajaan agar menghentikan segera program itu.

Dia juga berkongsi beberapa tangkap layar hantaran media sosial yang dibuat seorang guru perempuan, yang didakwanya berkhidmat di sebuah sekolah di Klang, Selangor.

Gambar itu menunjukkan murid sekolah memegang senapang dan mesingan mainan, sambil mengenakan selendang kufia dan ikat kain di kepala yang tertera sokongan untuk Palestin.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan tidak peduli dengan pendirian dan keputusan yang diambil oleh negara-negara barat dalam konflik Palestin-Israel.

"Kita tak peduli apa keputusan yang lain. Tapi pendirian kita ialah hak rakyat Palestin mesti diberi. Ya soal tanah dia, harta dia dan maruah dia.

"Tapi, yang segera ialah menghentikan serangan dan menyalurkan bantuan kemanusiaan.

“Itu keutamaan kita sekarang," katanya ketika diminta mengulas sekurang-kurangnya dua resolusi berhubung Palestin digagalkan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).